SELALU ada keterujaan istimewa setiap kali ingin menonton filem Angga Dwimas Sasongko. Mungkin kerana hampir semua naskhahnya sudah saya tonton daripada genre romantik, drama sehinggalah aksi jenayah.
Filem terakhir Angga yang saya tonton adalah Mencuri Raden Saleh (2022) dan sekali lagi, sutradara itu kembali dengan filem aksi namun memfokuskan kepada terorisme dalam 13 Bom Di Jakarta (13BDJ).
Sedikit konteks, 13BDJ menceritakan tentang sekumpulan pengganas yang diketuai lelaki bernama Arok melakukan serangan letupan bom di beberapa tempat sekitar Jakarta.
Serangan itu secara langsung mencabar Badan Kontra Terorisme Indonesia (Pasukan Anti-Pengganas) yang mewakili kerajaan selain mengugut mereka memberikan sejumlah wang melalui nilai mata wang digital.
Awalnya, saya tertanya-tanya bagaimana Angga mahu membawa penonton kepada satu alur cerita; menghentikan 13 ledakan bom dalam filem berdurasi kurang dari dua jam tanpa bosan.
Namun, Angga pintar mengolah skrip membuatkan ia mustahil untuk dilakukan. Dari persembahan aksi, saya berpuas hati dan memuji bagaimana ia disusun dengan baik.
Ada kepelbagaian aksi yang ditampilkan bermula dari adegan tembak menembak dengan penggunaan jenis senjata berbeza, lumba kereta dan semestinya ledakan demi ledakan yang memuaskan.

Ini kerana Angga menggunakan efek praktikal berbanding kesan imej janaan komputer, aksinya nampak lebih nyata. Plot cerita ini kemas dari perjalanan aksi satu hingga tiga, namun saya berpendapat pengolahannya tidak betul-betul masak.
13BDJ mungkin sudah menang dari penampilan aksi namun untuk sebuah filem aksi-spionase, naratifnya biasa-biasa sahaja. Apa lagi ia menampilkan Badan Kontra Terorisme yang kelihatan sangat mentah.
Saya pernah melihat bagaimana Angga berjaya memberi ‘rasa’ dalam sentuhan naskhah dramanya, namun hal itu tidak dapat saya cermati dalam filem aksi ini.
Saya gagal merasakan penderitaan Arok, juga tidak sempat mengenal kecerdasan pemuda start-up, Oscar dan William.
Saya tidak dapat menangkap emosi atau mengingat mana-mana babak yang menyentuh, menghancur lebur perasaan seperti pengalaman saya menonton Mencuri Raden Saleh.

KIAS DAN SIRAT
NAMUN begitu, walaupun dengan sedikit plot twist yang mudah dibaca, saya ingin menegaskan mesej di dalam 13BDJ masih mahal dan wajar untuk dibesarkan khususnya mengenai bom terakhir yang ditinggalkan Arok.
Arok sebelum dibantai pihak berkuasa mencirikan bom terakhir bukanlah sebuah ledakan fizikal, tapi sebuah ‘virus’ yang lebih berkuasa bakal menyerang di alam maya.
Arok mungkin pengganas bangsat mahu meletupkan 12 bom. Tapi bagaimana jika bom yang terakhir, adalah bom yang diperlukan?
Virus itu mungkin suara dari alam maya; pergaduhan, dan bising-bising di media sosial yang mampu menyelamatkan orang miskin di Indonesia?
Apapun, 13BDJ masih filem yang menarik dan memuaskan untuk ditonton hujung minggu ini.








