Zakir tiada masa fitnah Ramasamy

Zakir tiada masa fitnah Ramasamy

ZAKIR NAIK dan P. RAMASAMY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pendakwah, Dr. Zakir Naik menyatakan beliau tidak ada masa mahupun tenaga untuk memfitnah bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr. P. Ramasamy.

Ujar pendakwah itu, seluruh masa dan tenaganya dikhususkan untuk menyebarkan dakwah Islam dan menyatupadukan masyarakat serta menunjukkan jalan kebenaran berpandukan ajaran al-Quran dan hadis.

“Defendan (Zakir) menyatakan bahawa defendan tidak pernah memfitnah plaintif (Ramasamy) mahu pun berniat untuk memfitnah plaintif. Sebagai seorang pendakwah yang ulung dan terkenal di seluruh dunia, defendan tidak mempunyai masa dan tenaga untuk memfitnah plaintif.

“Defendan tidak pernah mempunyai niat jahat (malice) terhadap plaintif tetapi sudah terbukti bahawa plaintif yang mempunyai niat jahat (malice) terhadap defendan seperti yang diputuskan dalam kes mahkamah terdahulu,”ujar Zakir dalam penyata pembelaannya.

Selain itu, Zakir menyatakan tindakan Ramasamy memfailkan saman terhadapnya adalah bagi `menenggelamkan’ berita mengenai kemenangannya dalam kes saman fitnah terhadap bekas Timbalan Setiausaha Agung Kebangsaan DAP itu.

Pada 2 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Hayatul Akmal Abdul Aziz memerintahkan Ramasamy membayar ganti rugi RM1.52 juta kerana memfitnah Zakir dan juga supaya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pendakwah itu selepas membenarkan dua saman fitnah yang difailkan oleh Zakir.

Penyataan pembelaan itu difailkan oleh Zakir pada pagi ini (16 Januari) melalui firma guaman, Tetuan Akberdin & Co di Mahkamah Tinggi di sini bagi menjawab saman yang difailkan Ramasamy pada 27 Disember 2023.

Pada tarikh tersebut, Ramasamy memfailkan saman fitnah tersebut terhadap Zakir atas dakwaan penceramah tersebut telah memfitnahnya pada satu ceramah di Sokoto, Nigeria, 2 November lalu.

Pada ceramah tersebut, Zakir yang dinamakan sebagai defendan menyentuh mengenai kemenangan kes samannya terhadap Ramasamy dan turut mendakwanya sebagai musuh umat Islam.

Selain itu, Zakir turut difailkan tuntutan balas terhadap Ramasamy yang didakwa telah memfitnahnya (Zakir) dalam artikel yang diterbitkan di Malaysiakini pada 12 Ogos 2019 dan dalam hantaran di Facebook plaintif bertarikh 20 dan 21 Ogos 2019.

Penceramah tersebut menuntut ganti rugi am, pampasan, teruk dan teladan yang jumlahnya akan ditaksirkan oleh Mahkamah.

Selain itu, Zakir memohon perintah injunksi terhadap Ramasamy agar memadamkan kenyataan-kenyataan berbair fitnah tersebut daripada laman sesawang, media sosial atau mana-mana medium berkaitan dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh penghakiman.

Beliau turut memohon perintah injuksi bagi menghalang Ramasamy daripada menerbitkan, mengedarkan dan memuat naik sebarang penyataan fitnah terhadap pendakwah itu.

Zakir turut memohon perintah agar Ramasamy memohon maaf terhadapnya di beberapa akhbar tempatan termasuk surat khabar berbahasa Cina dan Tamil serta di laman Facebook ahli politik terbabit.

Turut dimohon ialah kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN