KUALA LUMPUR: UMNO dan Parti Warisan Sabah (Warisan) sedang bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dipercayai akan diadakan tahun ini.
Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kerjasama kedua-dua parti itu akan diumumkan secara rasmi oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Ini bukan soal setuju atau tidak, tetapi parti mana yang boleh sumbangkan kemenangan besar secara bersama. Orang lain boleh jadi seperti anjing menggonggong tulang, tahu menyalak sahaja.
“UMNO dan Warisan adalah parti yang bersama-sama dalam Kerajaan Perpaduan di Semenanjung, what is problem with that? (apa masalahnya). Mereka yang merasakan kerjasama ini bermasalah, sebenarnya merekalah yang bermasalah.
“Tunggu kenyataan rasmi Presiden,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Dalam perkembangan lain, Bung Moktar berkata, keadaan politik di Sabah masih terkawal dan tiada ‘ribut’, malah menganggap pergolakan yang ditimbulkan itu hanya spekulasi semata-mata.
“Itu hanya spekulasi, tiada apa-apa,” katanya.
Kelmarin, Pengerusi BN, Ahmad Zahid berkata, beliau akan berada di Sabah untuk menyelesaikan ketegangan politik yang dilaporkan berlaku di negeri itu.
Bung Moktar dalam masa yang sama turut menjelaskan bahawa parti itu kini dalam pertimbangan untuk mengadakan sebarang bentuk kerjasama dengan parti lain yang mampu menyumbang kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Jelas beliau, setakat ini parti itu menjalinkan kerjasama Warisan sebagai usaha menewaskan kerajaan negeri kini di bawah kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Katanya, meskipun terdapat sesetengah pihak yang tidak bersetuju dengan kerjasama tersebut, namun tegas Bung, fokus utama perlu dilihat kepada kemenangan pada PRN akan datang.
Sabah dijadual mengadakan pilihan raya negeri tahun depan, walaupun terdapat jangkaan bahawa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mungkin akan mengadakan pilihan raya tahun ini.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Bung Moktar berkata, setakat ini Warisan antara parti yang sedang dalam penilaian untuk meneruskan kerjasama secara rasmi, namun terdapat juga beberapa pilihan lain yang juga dalam pertimbangan parti itu.
“Perbincangan sentiasa ada dengan mana-mana parti yang kita rasa boleh menang dan berkeyakinan untuk bekerjasama, kita akan nilai dan pertimbangkan parti mana yang boleh memberi impak besar, kita ada banyak pilihan.
“Biar Presiden buat kenyataan,” katanya.
Kerjasama itu akan menyaksikan UMNO Sabah dan Warisan menentang GRS yang diketuai Ketua Menteri Sabah iaitu Hajiji, selain parti komponen PH.
Sebelum ini, Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, kerjasama Warisan dan UMNO boleh dilakukan demi kepentingan rakyat Sabah.
Kesemua parti itu adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan persekutuan selepas PRU15.
Mengenai desakan supaya beliau meletak jawatan, kata Bung Moktar, beliau tidak akan melayan sebarang gangguan dari pihak luar berhubung perkara tersebut. – UTUSAN










