Tiga individu ditahan bergaduh ketika perlawanan bola sepak - Utusan Malaysia

Tiga individu ditahan bergaduh ketika perlawanan bola sepak

TANGKAP layar daripada video menunjukkan pergaduhan melibatkan pemain dua pasukan dalam perlawanan bola sepak di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, petang semalam. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu menahan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan ketika perlawanan bola sepak di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis negeri, Datuk Mazli Mazlan berkata, tiga lelaki berusia lingkungan 20 sehingga 40-an yang ditahan itu membabitkan pemain dan pegawai sebuah pasukan yang terlibat.

Menurut beliau, siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (KK) bagi mengesan beberapa lagi individu disyaki terlibat dengan kekecohan berkenaan.

“Sehingga semalam telah ada tangkapan seramai tiga orang dan kami percaya akan ada lagi (tangkapan) selepas ini.

“Daripada tiga lelaki tersebut, ada yang ditahan di rumah dan siasatan lanjut masih dijalankan dengan mengambil keterangan mereka,” katanya.

Mazli berkata demikian pada Majlis Serah Terima Harta Lucut Hak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.

Pada Sabtu, dua klip video berdurasi 43 dan 22 saat tular di media sosial menunjukkan insiden tumbuk-menumbuk antara pemain dan pegawai pasukan ketika aksi Liga Bolasepak Terengganu (TFL) 2023.

Kekecohan itu dikatakan tercetus berpunca perasaan tidak puas hati dengan permainan kasar sehingga berlakunya insiden pergaduhan serta kekecohan menuju tamat permainan.

Kejadian itu turut menyebabkan seorang pegawai pasukan berusia 46 tahun cedera di bahagian kepala, muka dan mata selain lebam di anggota badan disyaki dipukul serta disepak individu tidak dikenali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya