BANDAR GAZA: Ribuan penduduk Gaza keluar beramai-ramai bagi memberi penghormatan terakhir kepada seorang ahli kanan pertubuhan bantuan utama Mesir di Palestin yang maut dalam serangan udara Israel minggu ini.
Mangsa sebelum ini dikenali kerana usahanya menyediakan skrin gergasi untuk tayangan kejohanan bola sepak Piala Dunia di wilayah yang musnah itu.
Menurut pegawai perubatan, serangan yang berlaku pada Selasa lalu ketika ambang perlawanan antara Mesir dan Argentina telah mengorbankan Mohammad al-Waheidi.
Ketika kejadian, beliau menaiki sebuah teksi di kejiranan Sabra, Bandar Gaza. Serangan itu turut meragut tiga nyawa lain, termasuk dua kanak-kanak pejalan kaki yang merupakan adik-beradik berusia lapan dan 10 tahun.
Inisiatif menonton perlawanan bola sepak melalui skrin gergasi tersebut sebelum ini berjaya membawa sedikit kegembiraan kepada ribuan peminat sukan itu di wilayah Palestin, yang kini menyembah bumi akibat perang yang berlarutan selama lebih dua tahun.
Seperti kebanyakan warga Arab yang lain, penduduk Palestin menyokong penuh pasukan Mesir yang mempamerkan aksi cemerlang sebelum disingkirkan oleh Argentina.
“Bapa saya bekerja keras untuk membawa sedikit hiburan kepada orang ramai, golongan pelarian, kepada kami dan sesiapa sahaja yang menderita di Gaza.
“Beliau cuba membawakan tayangan perlawanan ini dekat dengan khemah-khemah dan pusat perlindungan mereka yang runtuh,” kata anak lelakinya, Fawaz, ketika dihubungi Reuters melalui telefon.
Apabila diminta mengulas mengenai kematian tersebut, pihak tentera Israel mendakwa mereka telah menyasarkan seorang pejuang Hamas dan menyedari tentang dakwaan bahawa terdapat orang awam yang tidak bersalah turut terkorban dalam serangan itu. – AFP










