NASA hantar bola sepak ke bulan jika AS juara Piala Dunia - Utusan Malaysia

NASA hantar bola sepak ke bulan jika AS juara Piala Dunia

NASA akan menghantar bola Piala Dunia ke bulan jika AS menjadi juara. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Ketua agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) memberikan suntikan motivasi luar biasa kepada pasukan kebangsaan Amerika Syarikat (AS) bagi kempen Piala Dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2026. 

Ini kerana NASA berjanji akan menghantar sebiji bola sepak ke bulan jika skuad itu muncul juara kejohanan tersebut.

Bercakap  semasa satu acara yang membentangkan rancangan NASA bagi pembangunan pangkalan bulan masa hadapan, Pentadbir NASA, Jared Isaacman membuat ikrar unik tersebut bagi menaikkan semangat pasukan negara itu.

“Ini cabarannya. Jadi kepada pasukan AS, lakukan tugas itu (menjadi juara). Kami akan bawa bola sepak itu ke sana. Jadi, ini sekadar sedikit motivasi buat AS dalam kejohanan ini,” kata Isaacman.

AS kini menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia FIFA 2026 di samping Mexico dan Kanada. Pasukan AS telah berjaya melangkah ke Pusingan 32 sebagai juara Kumpulan D dan  menang 2-0 ke atas Bosnia dan Herzegovina bagi membolehkannya memasuki pusingan 16 pasukan terbaik.

Untuk rekod, pasukan kebangsaan lelaki AS belum pernah memenangi Piala Dunia FIFA,. Ia berbeza dengan pasukan wanita  yang memegang rekod empat kali gelaran juara dunia. Janji Isaacman kini memberikan insentif unik buat kempen skuad lelaki tersebut.

Jika AS memenangi kejohanan itu, bola sepak tersebut akan dihantar dalam misi bulan  yang membawa instrumen saintifik sebagai sebahagian daripada program pangkalan bulan NASA.

“Jika AS memenangi Piala Dunia, kami pasti akan mencari ruang (untuk membawanya),” kata Carlos Garcia-Galan, pe­ngurus program NASA untuk pangkalan bulan.

Beliau menjelaskan bahawa bola sepak itu cukup ringan untuk dibawa dalam misi itu.Namun, Garcia-Galan sempat berseloroh mengenai ‘jalan sukar’ yang perlu ditempuhi para pemain terlebih dahulu. 

“Semuanya kini terletak di bahu pasukan kebangsaan lelaki AS, jadi semoga berjaya,” ujarnya.

Cadangan tersebut sebenar­nya memberi penghormatan kepada angkasawan Apollo 14, Alan Shepard, yang terkenal kerana ‘menyeludup’ kayu golf dan dua biji bola golf ke bulan pada tahun 1971, sebelum me­lakukan beberapa hayunan di permukaan bulan.

“Kami akan mela­kukan sesuatu yang lebih hebat daripada Alan Shepard,” kata Isaacman.

NASA sebelum ini juga pernah menunjukkan keterujaan terhadap Piala Dunia dengan menghantar bola sepak FIFA ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), di mana para angkasawan turut menonton perlawanan Piala Dunia semasa berada di orbit. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN