PETALING JAYA: Bekas pengurus besar Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia, Jennifer Thompson berpandangan mana-mana individu pada zaman sekarang yang berhasrat menjadi penyanyi perlu tampil berlainan berbanding penyanyi sedia ada.
Katanya, perkara itu penting memandangkan terlalu banyak penyanyi berbakat yang bersaing sesama sendiri untuk mencari ruang dalam dunia hiburan tanah air.
“Peminat sekarang lebih tertarik kepada visual. Itu trend masa sekarang. Jadi penyanyi kena ada visual yang kuat untuk mencuri perhatian masyarakat.
“Tapi, untuk terus meraih sokongan peminat, seseorang penyanyi kena ada bakat. Itu yang membuatkan mereka terus relevan.
“Bakat adalah segalanya. Namun, ia tidak cukup untuk mencuri perhatian masyarakat kerana zaman sekarang kita sudah ada terlalu banyak penyanyi berkebolehan. Jadi, penyanyi juga kena menarik dari segi visual,” jelasnya.
Disoal tentang penyanyi nombor satu, Jennifer tidak menolak hakikat bahawa Datuk Seri Siti Nurhaliza masih memegang status berkenaan.
Katanya, dari segi pencapaian dan kebolehan, Siti masih sukar ditandingi sehingga ke hari ini.
“Tiada istilah Siti sudah wajar serah mahkota penyanyi nombor satu kepada penyanyi lain. Beliau tetap nombor satu, melainkan kalau beliau bersara dari dunia nyanyian.
“Kita tak boleh menidakkan beliau adalah whole package. Itu harus kita semua iktiraf.
“Walau bagaimanapun, kita juga tidak boleh menafikan kelebihan penyanyi lain yang miliki keunikan tersendiri,” kongsinya.










