‘Sedih lihat keadaan abang, dia hanya terbaring kaku’

‘Sedih lihat keadaan abang, dia hanya terbaring kaku’

KEADAAN Wan Mohd. Fairuz Wan Abdul Razak yang terlantar akibat koma di rumahnya di Gong Manok, Kampung Baharu, Besut, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Seorang pemuda yang menjadi mangsa langgar lari sebuah kereta dalam kejadian di sini, pada 8 Januari lalu koma akibat kecederaan parah di kepala.

Farhana Nabilah, 25, adik kepada Wan Mohd Fairuz Wan Abdul Razak, 39, dari Gong Manok, Kampung Baharu, di sini, berkata, abangnya dilanggar ketika pulang dari tempat kerja pada hari kejadian.

“Sedih lihat abang dalam keadaan koma tidak mampu bercakap, hanya sekadar terbaring kaku sepanjang hari.

“Doktor maklumkan abang boleh pulih, namun mengambil masa kerana hentakan kuat pada bahagian otak turut menjejaskan ingatannya,” katanya di sini, semalam.

Menurut Farhana Nabilah, Wan Mohd. Fairuz dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta ketika melalui Jalan Tok Saboh, Kuala Besut ketika dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka selepas bekerja di tempat pengumpulan ikan di kawasan berdekatan.

“Akibat kemalangan itu abang mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala hingga menyebabkan koma,” katanya.

Wan Mohd. Fairuz yang merupakan anak keenam daripada sembilan beradik itu sebelum ini menjadi tulang belakang keluarga kini hilang kemampuan selain turut bergantung dengan susu formula untuk meneruskan hidup.

Tambahnya, sewaktu sihat abangnya itu bertanggungjawab menguruskan ayah mereka yang mengalami strok manakala ibu sudah meninggal dunia.

Farhana Nabilah berkata, dia perlu mengeluarkan belanja kira-kira RM500 seminggu bagi keperluan lampin pakai buang serta susu abangnya dan keadaan itu di luar kemampuannya.

“Saya berharap pelaku yang melanggar abang dapat diherett ke muka pengadilan dan mendapat hukuman setimpal atas perbuatannya sekiranya abang terbukti tidak bersalah,” katanya.

Dalam pada itu mana-mana pihak yang ingin membantu meringankan beban adik beradik tersebut boleh menghubungi Nabilah di talian 011-37040428. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN