NEW YORK: Pengendali taman tema popular, Six Flags akan menutup secara tetap permainan roller coaster paling terkenalnya kira-kira sebulan selepas pendedahan siasatan saluran CNN berhubung siri kecederaan parah dan kematian membabitkan tarikan tersebut.
Presiden Six Flags Magic Mountain, Brian Oerding menerusi hantaran di blognya memaklumkan walaupun roller coaster yang dikenali sebagai X2 itu sentiasa melepasi ujian keselamatan, penutupan itu akhirnya dilakukan kerana dianggap tindakan yang wajar.
Beliau berkata, keselamatan permainan merupakan teras utama perniagaan mereka dan pihak pengurusan memandang serius apabila tahap keyakinan pengunjung mula terjejas.
Dakwaan permainan itu menyebabkan kecederaan timbul sejak lebih sedekad lalu, namun sebahagian besarnya tidak didedahkan kepada umum sehingga siasatan CNN bulan lalu mendokumentasikan lebih belasan laporan kecederaan serius serta kes kemasukan ke hospital.
Terbaharu, dua wanita dilaporkan dimasukkan ke ruang kecemasan hospital yang sama di Santa Clarita akibat kecederaan otak selepas menaiki X2 dalam tempoh selang enam hari sahaja pada Julai lalu.
Ekoran insiden membabitkan wanita kedua itu, operasi roller coaster berkenaan ditutup sementara sehari selepas kejadian.
Minggu lalu, barisan peguam mengadakan sidang media berprofil tinggi dan melaporkan lebih 100 mangsa baharu tampil mendakwa mengalami pelbagai tahap kecederaan otak selepas menaiki X2 dalam tempoh dua tahun lalu.
X2 yang menjadi tarikan utama di Six Flags Magic Mountain di California Selatan selama hampir dua dekad sebelum ini menarik peminat permainan ekstrem dari seluruh dunia kerana ciri khas empat dimensi dengan tempat duduk yang boleh berputar 360 darjah pada kelajuan hampir 130 kilometer sejam.
Menerusi tiga tuntutan mahkamah yang difailkan minggu lalu, tiga pengunjung yang mengalami kecederaan mengancam nyawa tahun ini mendakwa pihak pengurusan Six Flags sudah lama mengetahui mengenai bahaya permainan tersebut tetapi tetap membiarkannya beroperasi.
Salah seorang mangsa, Naomi Greer-Wilkinson, 26, dilaporkan masih koma selepas menaiki permainan berkenaan hanya enam hari selepas seorang lagi pengunjung wanita, Pamela Guillen, rebah hingga terpaksa menjalani pembedahan otak.
Ibu bapa Greer-Wilkinson memberitahu CNN, tindakan penutupan itu sepatutnya sudah lama diambil dan meluahkan rasa lega kerana tiada lagi keluarga lain yang bakal berdepan nasib malang seperti anak perempuan mereka.











