PETALING JAYA: Isham Jalil mendakwa cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Penggal Tetap Parlimen adalah untuk kepentingan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan ahli-ahli politik lain dalam kerajaan dan bukannya untuk kepentingan rakyat.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata, Ahmad Zahid mungkin takut jika kerajaan bertukar menyebabkan beliau hilang kuasa dan jawatan, malah kembali didakwa di mahkamah atas pertuduhan jenayah terhadapnya.
“Saya lihat RUU seperti dicadang bukanlah untuk kepentingan rakyat tetapi untuk kepentingan diri segelintir ahli-ahli politik dalam kerajaan termasuk Ahmad Zahid sendiri yang mungkin takut jika kerajaan bertukar mereka akan hilang kuasa dan jawatan dan mungkin akan kembali didakwa di mahkamah dan masuk penjara dalam masa terdekat.
“RUU yang digubal di Parlimen perlu dibuat untuk kepentingan rakyat dan bukan menyelamatkan tengkuk segelintir ahli-ahli politik dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan malam kelmarin.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, pembangkang percaya kerajaan boleh ‘tumbang’ atau bertukar selepas pilihan raya umum (PRU) meskipun satu RUU bagi penetapan penggal Parlimen digubal dan diluluskan di Parlimen.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pembangkang tidak terkesan dengan cadangan itu kerana berpegang kepada prinsip Perlembagaan Persekutuan yang benarkan pertukaran kerajaan di luar pilihan raya.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kota Bharu itu tidak menjelaskan secara terperinci pendekatan lain yang boleh diambil pembangkang menukar tampuk pimpinan kerajaan jika undang-undang itu sudah wujud.
Baru-baru ini, Ahmad Zahid dilapor mencadangkan supaya diwujudkan satu RUU penetapan penggal Parlimen supaya pembentukan kerajaan kekal hingga akhir penggal atau sebelum PRU.
Beliau membuat cadangan itu dengan alasan menjamin kestabilan negara supaya kerajaan tidak diganggu oleh percaturan ahli-ahli politik demi kepentingan dan agenda masing-masing.
Katanya, pengalaman pahit lalu menyaksikan negara berdepan ketidakstabilan politik ekoran pertukaran tiga Perdana Menteri dalam satu penggal sehingga menjejaskan pembangunan dan ekonomi negara.
Sementara itu, Parti Demokratik Ikatan Malaysia (Muda) Kelantan menyokong cadangan mewujudkan RUU penggal tetap Parlimen agar pembentukan sesebuah kerajaan kekal sehingga akhir penggal atau sebelum PRU seterusnya diadakan.
Ketua Penerangannya, Abdul Rahman Khairuddin berkata, cadangan itu perlu dibawa dan dibahaskan secara lebih terperinci di Parlimen.
Menurutnya, ini kerana Muda Kelantan tidak mahu RUU itu dijadikan sebagai alat untuk menyambung kelangsungan hayat suatu pakatan politik yang membentuk kerajaan.
“Kami berpandangan, perkara ini (RUU) perlu diperhalusi agar ia tidak menjadi RUU semusim,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. – UTUSAN










