‘PN tidak tandatangan mana-mana SD’

‘PN tidak tandatangan mana-mana SD’

WAN AHMAD FAYHSAL WAN AHMAD KAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang gerakan mahupun akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani Perikatan Nasional (PN) untuk menjatuhkan kerajaan.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ketika dihubungi Mingguan Malaysia berkata, beliau pelik dengan kenyataan yang dikeluarkan kerajaan setiap hari berhubung ‘Langkah Dubai’ dalam keadaan tiada sebarang gerakan pun yang dibuat oleh pihak mereka.

“Tiada sebarang SD yang kita kumpulkan dan dapatkan daripada ahli-ahli parlimen PN untuk tumbangkan kerajaan. Tidak ada. Saya pun tidak tahu kenapa Zahid (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) mengelamun sehingga keluar kenyataan sebegitu.

“Perdana Menteri sudah ada majoriti yang kuat, disokong lagi oleh lima orang ahli kami. Yang nak menggelabah, kenapa,” soalnya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Ahmad Zahid bahawa sebarang gerakan untuk menjatuhkan kerajaan atau mewujudkan pentadbiran ‘tebuk atap’ dengan menggunakan dokumen akuan bersumpah oleh ahli Parlimen sudah lagi tidak terpakai.

Ini kerana jelas Presiden UMNO itu lagi, penguatkuasaan Akta Antilompat Parti menyebabkan penggunaan dokumen akuan bersumpah seperti mana dipraktikkan sebelum ini, tidak lagi relevan.

Bagaimanapun, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii pula berkata, pembangkang tahu yang mereka tiada keupayaan untuk mendapatkan jumlah ahli parlimen yang tidak menyokong kepimpinan Anwar.

Maka, jelasnya, PN menggunakan taktik lain bagi menampakkan yang kerajaan ini ‘terencat’ dari segi ekonominya dengan mensabotaj secara halus supaya ia menjadi bahan kempen untuk meraih sokongan undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

“Apa yang mereka cuba buat hari ini ialah pemegang taruh tahu adalah tidak masuk akal untuk mengubah kerajaan dengan majoriti yang besar. Jadi, mereka cuma buat sabotaj ekonomi kerajaan kejayaan hari ini yang kita lakukan akan memberi kebaikan kepada rakyat.

“Sabotaj ini mesti dilakukan oleh mereka untuk menunjukkan kerajaan hari ini gagal dalam mentadbir negara. Jadi, tidak ada pelaburan yang akan masuk ke dalam negara dan perkara ini yang akan dicanangkan pembangkang sehingga PRU ke-16.

“Ini adalah pengkhianatan kepada negara sebab mereka tahu sukar untuk mengubah kerajaan yang mendapat sokongan majoriti dua per tiga, tetapi melakukan perkar ayang mampu menjejaskan usaha menarik pelabur asing, sudah tentu ia memberi kelebihan kepada pembangkang,” katanya lagi.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, lapan lagi ahli Parlimen pembangkang didakwa akan menyokong Perdana Menteri.

Jelas Syed Abu Hussin itu lagi, mereka tunggu Parlimen bersidang 28 Februari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×