Pimpinan universiti dicabar bawa perubahan lebih baik

Pimpinan universiti dicabar bawa perubahan lebih baik

ANWAR Ibrahim dan Zambry Abdul Kadir pada sesi dialog selepas merasmikan Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, semalam. – Facebook Anwar Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar pucuk pimpinan universiti membawa perubahan yang lebih baik terhadap program akademiknya dalam usaha meningkatkan kua­liti pendidikan tinggi negara.

Perdana Menteri menegaskan, program-program akademi yang lebih baik dan penting perlu diteliti bagi tujuan tersebut.

“Saya cadangkan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir memberi ruang kepada pimpinan universiti, kementerian hanya menyelaras, mengelak pertindihan, permasalahan te­tapi memberi lebih banyak ruang kepada universiti.

“Cabar mereka dalam dua tahun untuk melihat program yang lebih baik, kalau tidak, kita ubah pimpinan universiti,” katanya ketika berucap pada majlis Perasmian Wacana Strategi Pendidikan Tinggi di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini semalam.

Tambahnya, tindakan yang lebih tegas dan efektif perlu diambil demi memastikan mu­tu universiti dalam negara ber­kembang maju seiring dengan perubahan masa.

“Apa yang saya mahu gagaskan, kita mengakui bahawa ada keperluan untuk melancarkan suatu tindakan lebih tegas dan berat dengan kepesatan universiti-universiti,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Anwar turut menegaskan supaya perencanaan kepada se­tiap perubahan dan penyelesaian permasalahan di peringkat kementerian perlu dilakukan dalam masa yang singkat.

“Cabaran itu sangat kritikal. Kalau kita tangguh dan guna formula 20, 30 tahun lalu, kita akan ketinggalan. sebab itu di jemaah menteri, saya agak tegas kalau buat keputusan transisi, ia harus dilakukan sekarang, mesyuaratnya minggu depan, keputusan dalam tempoh dua bulan.

“Kita tidak boleh lagi dalam jangkaan enam bulan, setahun, kalau nak buat fakulti AI (Kecerdasan Buatan), ia tidak boleh pergi kepada kajian unit, kemudian jabatan, kemudian fakulti, kemudian board of studies, kemudian kementerian pengajian tinggi, kemudian enam bulan, ini bermakna kita akan ketinggalan dalam masa setahun.

“Kepantasan menangani ini memungkinkan kita ke tingkat atas dalam persaingan antara negara,” ujarnya.

Kira-kira 500 peserta hadir wacana tersebut yang diadakan untuk menyediakan peluang kepada semua pihak berkepen­tingan dalam landskap pendi­dikan tinggi khususnya golongan akademia, pengurusan Ins­titusi Pendidikan Tinggi (IPT) Awam dan Swasta serta pihak industri yang memberi sumbangan signifikan terhadap pemerkasaan agenda pendidikan tinggi negara.

Sesi wacana yang berlangsung selama dua hari bermula semalam turut memberi peluang kepada semua pemegang taruh dalam sektor pendidikan tinggi untuk berkongsi panda­ngan dan pengalaman masing-masing dengan pucuk pimpinan negara dan kementerian, khususnya untuk merangka strategi dalam mendepani ca­baran masa kini dan akan datang.

Sementara itu, Anwar meluangkan masa melawat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang kini berada dalam ke­adaan stabil selepas menjalani rawatan di Institusi Jantung Negara (IJN).

Anwar berkata, beliau mendoakan agar Abdul Hadi yang baru sahaja melalui prosedur rawatan dan kini sedang menjalani dialisis agar kembali sihat seperti sedia kala.

“Saya datang untuk menziarahi Ustaz Hadi Awang yang telah mendapatkan rawatan, tetapi dia baru ikut prosedur dan sekarang dialisis. Tapi tak sempat jumpa, jadi jumpa sahabat saya, Ziauddin Sardar.

“Kita mendoakan mereka sihat, syafakallah, pulih dan dapat menjalankan tugas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN