PUTRAJAYA: Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan sejumlah 19,134,066 pengunjung yang hadir ke Pusat Pentadbiran Kerajaan itu sepanjang tahun lalu dan tertinggi dalam tempoh lima tahun.
Jumlah itu meliputi mereka dalam kalangan pelancong, pelawat dan pengunjung untuk pelbagai acara yang dianjurkan di sini setakat November 2023.
Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi Korporat Perbadanan Putrajaya (PPj), Norzita Abdul Razak memaklumkan, angka itu didapati melonjak 385 peratus berbanding tahun 2022 apabila hanya seramai 4,969,793 pengunjung melawat Putrajaya, manakala sejumlah 1,352,018 pengunjung pada tahun 2021.
Bagi tahun 2020 pula, seramai 1,493,819 direkodkan, selain tahun 2019 adalah seramai 2,593,330.
Menurutnya, sebanyak 15,602,676 daripada jumlah keseluruhan pengunjung pada tahun lalu adalah mereka yang melawati 18 pusat tarikan pelancong yang ada di sekitar Putrajaya.
“Peningkatan positif ini berlaku berikutan prestasi pertumbuhan pelancongan negara yang semakin berkembang pesat selepas peralihan ke fasa endamik Covid-19.
“Seramai 398,064 pula adalah merupakan pelancong sama ada tempatan atau luar negara yang menginap di lima buah hotel di sini berdasarkan angka yang direkodkan menerusi Tourism Malaysia.
“Selain itu, sejumlah 3,133,326 pula adalah mereka yang mengunjungi 90 acara utama yang dianjurkan di Putrajaya sepanjang tahun lalu antaranya Sambutan Hari Kebangsaan 2023, Putrajaya Open Day 2023, Festival Ramadan Putrajaya 2023, Festival Budaya Putrajaya 2023 dan Orkid Putrajaya 2023,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata, PPj menyasarkan 20 juta kehadiran pengunjung pada tahun ini berdasarkan sokongan inisiatif PPj dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan Seni dan Kebudayaan (MOTAC).

Ia menerusi penganjuran program-program seperti acara-acara utama tahunan di Putrajaya, Travel Fair, pameran dalam dan luar negara, Destinasi Eco Pelancongan, Destinasi MCIE (Meetings, incentives, conferences and exhibitions) dan Destinasi Makan-Makan.
“PPj juga sentiasa mempertingkatkan usaha mempromosi produk-produk pelancongan Putrajaya seperti Glamping Wetland Putrajaya, Wetland Studios Putrajaya dan taman-taman Putrajaya menerusi laman sosial media rasmi Perbadanan Putrajaya,” katanya.
Norzita berkata, Cruise Tasik Putrajaya merupakan lokasi paling mendapat tarikan pengunjung yang terletak berdekatan dengan Dataran Putra dan berhadapan Masjid Putra.
Perjalanan menaiki bot ini mengambil masa sekitar 45 minit untuk mengelilingi majoriti tempat-tempat menarik di Putrajaya seperti Masjid Putra, Istana Darul Ehsan, Monumen Millenium, bangunan kementerian, Jambatan Putra dan juga Jambatan Putrajaya.
Harga tiket bergantung kepada pakej bot yang dipilih sama ada ingin menaiki bot besar berhawa dingin atau pun menaiki bot tradisional buatan tangan (gondolas) yang diimport khas dari Terengganu.
Jumlah pelawat atau pengunjung di Cruise Tasik Putrajaya pada tahun 2023 merekodkan sejumlah 193,404 pengunjung dengan kenaikan sebanyak 80 peratus berbanding kehadiran pengunjung yang direkodkan pada tahun 2022.
Cruise Tasik Putrajaya mula beroperasi dan dilancarkan pada tahun 2003 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. – UTUSAN











