Malaysia sambut Agong Ke-17

Malaysia sambut Agong Ke-17

SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini memulakan tugas sebagai Yang di-Per­tuan Agong Ke-17 meng­gantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menamatkan peme­rintahan selama lima tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16, semalam.

Keberangkatan Sultan Ibrahim untuk bersemayam di Istana Negara disambut dengan kesyukuran oleh setiap lapisan Rakyat Malaysia kerana gembira menerima seorang lagi Ketua Negara yang sangat dihormati dan disanjungi.

Keberangkatan baginda dijangka diiringi kira-kira 30,000 rakyat Johor yang membanjiri sepanjang jalan dari Istana Bukit Serene menuju ke Hangar Diraja, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai bagi menyatakan sokongan dan kesyu­kuran ke atas baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17.

Sultan Ibrahim, 66, dija­dualkan berangkat menuju ke lapangan terbang kira-kira pukul 8 pagi melalui perjalanan sejauh 35.5 kilometer.

Di sepanjang perjalanan, baginda menerima lam­baian dan kibaran bendera negeri Johor daripada rak­yat pelbagai kaum terma­suk para pelajar, kakitangan kerajaan negeri dan Persekutuan serta swasta.

Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, bagin­da dijadualkan dibawa me­nai­ki pesawat khas ke Pangkalan Tentera Diraja Malaysia Subang, Selangor, berlepas kira-kira pukul 9 pagi sete­rus­nya menuju Istana Negara.

Setibanya di Istana Negara kira-kira pukul 10.30 pagi ini, baginda dijadualkan memeriksa kawalan kehormat utama daripada pegawai dan anggota Ang­katan Tentera Malaysia (ATM) di Dataran Istana Negara.

Selepas itu, baginda dijadualkan bergerak masuk ke Anjung Utama, Istana Negara dan kemudian menghadiri Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17.

Pada 27 Oktober tahun lalu, Majlis Raja-Raja Ke-263 (Khas) berlangsung di Istana Negara sebulat suara mengisytiharkan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17, manakala Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Sultan Ibrahim merupakan putera sulung kepada Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail dan Almarhumah Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah.

Baginda mendapat pendidikan asas di Taman Didikan Kanak-Kanak Tunku Ampuan Mariam, Johor Bahru sebelum memulakan pendidikan di Sekolah Temenggong Abdul Rahman (1) Johor Bahru, seterusnya melanjutkan pelajaran di Trinity Grammar School, Sydney, Australia pada 1968 hingga 1970 sebelum meneruskan pelajaran menengah di English College (Maktab Sultan Abu Bakar) dari 1971 hingga 1975.

Baginda turut mendapat pendidikan agama di Sekolah Agama Ayer Molek, Johor Bahru.

Sultan Ibrahim yang ter­kenal sebagai raja yang prihatin terhadap rakyat jelata juga meneruskan pengajian di Fletcher School of Law and Diplomacy di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat dan melengkapkan dua kursus, iaitu Southeast Asian Strategic Studies dan International Law of the Seas.

Baginda juga pernah ber­khidmat dengan kerajaan negeri Johor dan ditempatkan di pelbagai jabatan bagi mempelajari aspek pengurusan serta pentadbiran negeri.

Baginda yang dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981 juga pernah dilantik sebagai Pemangku Raja pada 25 April 1984 hingga 25 April 1989 semasa Almarhum Sultan Iskandar ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Mendirikan rumah tangga dengan Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah pada 22 September 1982, pasangan diraja berkenaan dikurniakan lima putera dan seorang puteri.

Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 susulan kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar dan dimahkotakan pada 23 Mac 2015. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN