Lorong Haji Taib dulu pusat pelacuran, kini jadi lubuk rezeki

Lorong Haji Taib dulu pusat pelacuran, kini jadi lubuk rezeki

PEMANDANGAN di kawasan Lorong Haji Taib, Kuala Lumpur yang sudah jauh berubah berbanding 20 tahun lalu dengan keadaannya lebih selamat dan rancak dengan aktiviti perniagaan. - MINGGUAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nama Lorong Haji Taib cukup terkenal satu ketika dahulu dan pasti membuatkan sesiapa sahaja tersenyum sinis apabila memperkatakan tentang lokasi ini.

Apa yang menyedihkan, nama lorong itu yang diambil daripada tokoh terkenal di Kuala Lumpur satu masa dahulu lebih dikenali dengan pelbagai aktiviti tidak bermoral.

Apakan tidak, Lorong Haji Taib antara kawasan hitam yang sa­ngat dikenali dengan ‘kupu-kupu malam’ dan sarang penagih dadah.

Selain itu, lorong ini boleh diibaratkan sebagai ‘daerah lampu merah’ atau red light district sama sepertimana di negara Barat. Ia merujuk kepada sebahagian daripada sesebuah kawasan perbandaran di mana tertumpunya aktiviti pelacuran serta perniagaan berasaskan seks.

LORONG Haji Taib kini boleh dikatakan bersih daripada aktiviti ‘gelap’ apabila tiada lagi ‘bapa ayam’ bersidai di kaki lima sekali gus menunjukkan ia berbeza dengan persepsi sebelumnya yang terkenal dengan kawasan pelacuran. – MINGGUAN/AMIR KHALID

Kini, Lorong Haji Taib telah berubah. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan kawasan itu bersih daripada aktiviti ‘gelap’ terutama waktu malam.

Berdasarkan tinjauan Mingguan Malaysia baru-baru ini, Lorong Haji Taib rancak dengan aktiviti perniagaan dengan dikelilingi gerai dan kedai beraneka barangan semasa siang hari.

Di sebelah malam pula, kawasan itu dipenuhi dengan tempat mengurut yang beroperasi di kaki lima, bukan sepertimana premis urut yang berselindung menjalankan pusat pelacuran.

Deretan kerusi ‘malas’ dan cahaya lampu putih serta kain ren­tang untuk mempromosi tempat urut jelas terpampang bagi menarik orang ramai masuk ke lorong berkenaan.

Selain itu terdapat beberapa kedai di kawasan sekitar yang menjalankan perniagaan barangan terpakai atau bundle.

AKTIVITI perniagaan rancak dijalankan di Lorong Haji Taib.

Ini sekali gus bertepatan dengan asal usul pemilik nama lorong ini iaitu Haji Mohamed Taib Haji Abdul Samad yang merupakan tokoh pedagang dari Sumatera Barat, Indonesia.

Sebagai rekod, beliau berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1876 ketika berumur 18 tahun dan mengusahakan kedai runcit selain melabur dalam aktiviti perlombo­ngan dan perdagangan.

TRANSFORMASI JADI LOKASI TUMPUAN MENGURUT

Sementara itu, bagi tukang urut yang mahu dikenali sebagai Din, 44, pemandangan di kawasan Lorong Haji Taib sudah jauh berubah dan dipenuhi deretan tempat mengurut di kali lima sejak tamatnya perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

“Ada lebih lima tempat mengurut yang semuanya berope­rasi di kaki lima. Cukup sekadar menyusun kerusi di tepi kaki lima, kami sudah boleh mencari rezeki.

“Cuma ia bergantung kepada rezeki dan cuaca. Kalau hujan memang susah juga nak ‘cari makan’ dan pendapatan memang tidak menentu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dia yang lebih setahun beroperasi di situ berkata, kebiasaannya mampu memperoleh antara lima ke 10 pe­langgan dalam satu hari.

“Kami buka dari pukul enam petang sehingga empat pagi setiap hari. Ada pe­langgan yang mahu mengurut kaki sahaja dan ada yang mahu mengurut seluruh badan.
“Harga yang dikenakan ialah RM30 untuk kedua-dua belah kaki manakala untuk seluruh badan ialah RM70 sahaja.

“Tempoh mengurut ialah antara 40 minit ke sejam bergantung kepada jenis urutan,” jelasnya.

Katanya, bagi mereka yang hendak berurut keseluruhan badan, terdapat ruang dengan dilitupi tirai serta dilengkapi alas bagi mereka yang mahu mendapatkan perkhidmatan tersebut.

Menurut Din, sejak pasca pandemik Covid-19, keadaan dan kehidupan di sekitar Lorong Haji Taib berubah secara drastik dan ketara berbanding 10 tahun lalu.

“Sekarang ini boleh dikatakan Lorong Haji Taib tempat tumpuan bagi mereka yang mahu mendapatkan urutan tradisional dan bukan lagi tempat lelaki hidung belang,” jelasnya.

TUMPUAN NGO, REZEKI PENDUDUK ‘LORONG’

Sementara itu, aktivis sosial, Azhan Adnan yang bergerak di bawah pertubuhan Jejak Jalanan berkata, dia kini memberi fokus menyalurkan bantuan untuk mereka yang tinggal di kawasan berkenaan terutama anak kecil.

Antara bantuan yang disalurkan ialah makanan, minuman, bara­ngan dapur dan keperluan asas lain selain pendidikan.

Malah bagi Azhan yang mesra dipanggil ‘ayah’ dalam kalangan kanak-kanak tersebut, dia mahu memastikan mereka menerima dapat menjadi manusia berguna dan keluar daripada kesempitan hidup.

“Sewaktu mula-mula sampai beri bantuan di sini, anak-anak ini agak terbiar dan bahasa yang digunakan dalam seharian kasar, sering mencarut.

“Alhamdulillah, secara perlahan-lahan mereka berubah ke arah yang lebih baik. Apa yang saya perhatikan, mereka juga memerlukan kasih sayang secukupnya untuk membesar,” katanya.

AZHAN ADNAN

Katanya, teguran sering diberikan bukan sahaja kepada kanak-kanak tetapi kepada para ibu-bapa.

“Aspek agama juga perlu dititkberatkan dalam kehidupan seharian. Malah saya sendiri menganjurkan kursus khas dalam pengajian ilmu agama untuk para ibu bapa yang tinggal di kawasan ini selama beberapa hari.

“Sebagai contoh, baru-baru ini saya sendiri bawa mereka ke air terjun di Hulu Langat untuk ajar mereka. Ia dalam masa yang sama dapat memberi mereka peluang untuk bercuti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN