‘Letak jawatan, lawan semula jika anak jantan’

‘Letak jawatan, lawan semula jika anak jantan’

SHAHIDAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang berterusan mengeluarkan kenyataan kononnya lebih ramai ahli Parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar melepaskan jawatan dan bertanding semula dalam pilihan raya.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, langkah tersebut adalah bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) dilaksanakan memandangkan kerusi yang dimenanginya sebelum ini adalah di bawah tiket Perikatan Nasional (PN).

Kata Ahli Parlimen Arau itu, kemenangan sebelum ini juga adalah disebabkan sokongan luar biasa daripada pengundi Pas.

“Orang yang berpaling arah ini mesti berani untuk berhenti (lepas jawatan) supaya rezeki yang mereka dapat itu halal. Kalau anak jantan, dia kena letak jawatan ahli Parlimen dan kita lawan semula,” katanya.

Pada masa sama, Shahidan berkata, biarpun 10 orang ahli Parlimen pembangkang dikatakan bakal memberi sokongan kepada Anwar namun PN sebenarnya masih mempunyai lebih ramai sokongan wakil rakyat kerajaan yang akan bersama gabungan itu.

“Mereka ini akan bersama kita kerana kerajaan sekarang tiada hala tuju malah harga barang dan beras juga tidak menentu sehingga membebankan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Syed Abu Hussin mendedahkan 10 lagi Ahli Parlimen Bersatu dijangka mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri menjelang sidang Parlimen 26 Februari depan dan beliau turut memberi pendedahan negeri yang diwakili oleh Ahli Parlimen tersebut.

“Di zon utara iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perak ada lima Ahli Parlimen; di pantai timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang ada tiga Ahli Parlimen manakala di zon tengah iaitu Selangor dan Melaka ada tiga Ahli Parlimen yang dijangka mengisytiharkan menyokong Perdana Menteri tidak lama lagi,” kata Syed Abu Hussin.

Rabu lalu, Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi menjadi Ahli Parlimen dari Bersatu yang terbaru mengisytiharkan diri menyokong Perdana Menteri.

Sebelum ini, lima Ahli Parlimen Bersatu yang terlebih dahulu mengisytiharkan sokongan terhadap Anwar adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz; Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Dalam perkembangan lain, Shahidan berkata, langkah kerajaan bagi memansuhkan skim saraan dan digantikan dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disifatkan sebagai tindakan terlalu mendadak.

“Kerajaan tidak mengeluarkan pemakluman awal berhubung pelaksanaan itu yang mengejutkan ramai pihak khususnya penjawat awam. Pelaksanaan tersebut bakal memberi kesan besar buat penjawat awam Bumiputera yang dibimbangi terjejas dengan tindakan tersebut.

“Jika tengok dalam sesebuah jabatan atau agensi kerajaan, kebanyakan jawatan rendah seperti kerani dan sebagainya ini adalah diisi golongan Bumiputera dan mereka inilah yang akan terjejas teruk jika pencen dimansuhkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN