Kenaikan tarif air di Terengganu tidak lebih 20 sen - Utusan Malaysia

Kenaikan tarif air di Terengganu tidak lebih 20 sen

AHMAD Samsuri Mokhtar (tengah) menyampaikan Notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tapak Kediaman Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang kepada seorang penerima di Marang, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kenaikan tarif air baharu untuk pengguna domestik di Terengganu tidak akan melebihi 20 sen bagi setiap satu meter padu berkuat kuasa pada 1 Februari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelarasan tarif air baharu itu adalah minimum dan tidak akan membebankan rakyat.

Bagaimanapun, menurutnya, kenaikan tarif air itu masih tidak mencukupi untuk mengatasi kenaikan kos operasi.

“Kenaikan (tarif air di Terengganu) tidak lebih daripada 20 sen (setiap satu meter padu),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompak (RTB) Tapak Kediaman Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang di sini, hari ini.

Untuk rekod, kadar tarif air yang dikenakan Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) ketika ini adalah 42 sen bagi setiap 0 hingga 20 meter padu bagi penggunaan domestik.

Sementara itu, kadar bagi pengunaan lebih 20 hingga 40 meter padu adalah 65 sen dan lebih 40 hingga 60 meter padu sebanyak 90 sen serta lebih 60 meter padu pula berjumlah RM1.

Difahamkan, SATU dijadual mengumumkan kadar baharu tarif air di Terengganu, esok.

Ahmad Samsuri memberitahu, pelarasan tarif air baharu bagi pengguna domestik itu dicapai hasil perundingan antara semua negeri dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sejak beberapa tahun lalu.

Jelasnya, kenaikan taraf air di beberapa buah negeri sebelum ini telah melebihi 10 hingga 20 tahun.

“Di Terengganu, kali terakhir semakan tarif air dilakukan pada tahun 1997,” ujarnya.

Ahmad Samsuri menambah, kenaikan tarif air itu akan dapat membantu syarikat-syarikat air untuk menyediakan keperluan bekalan air yang lebih baik kepada pengguna seperti menggantikan paip-paip air lama.

“Jadi ‘is a win win’ (situasi menang-menang) untuk syarikat air dan juga pengguna supaya perkhidmatan itu menjadi lebih baik,” ujarnya.

SPAN pada Rabu lepas mengumumkan pelarasan tarif air baharu bagi pengguna kategori domestik di seluruh Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dilaksana bermula 1 Februari ini.

Kenaikan itu disifatkan SPAN sebagai tidak lagi boleh ditangguhkan agar tidak menjejaskan kemapanan jangka panjang perkhidmatan air negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya