Ibu bapa puji sekolah laksana SOP Covid-19

Ibu bapa puji sekolah laksana SOP Covid-19

MURID memakai pelitup muka dan menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum masuk ke sekolah di sebuah sekolah rendah di Bagan Datuk, Perak. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Ibu bapa murid sebuah sekolah di sini memuji pengurusan sekolah yang melaksanakan pemeriksaan suhu badan dan menggalakkan pelajar memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga mengelak jangkitan Covid-19.

Seorang ibu kepada murid di sekolah itu yang enggan dikenali memuji tindakan sekolah anaknya belajar melaksanakan SOP Covid-19 bagi memastikan penyakit itu tidak menular dalam kalangan murid.

Katanya, apatah lagi jangkitan penyakit tersebut semakin meningkat sehingga membimbangkan ibu bapa.

“Tindakan sekolah ini melaksanakan SOP Covid-19 sewajarnya dipuji sebagai langkah pencegahan untuk memben­dung jangkitan Covid-19.

“Ini sejajar dengan seruan kerajaan yang menggalakan murid dan guru memakai pelitup muka dan pelaksanaan SOP Covid-19.

“Sebagai ibu bapa, kami sentiasa peka terhadap kesihatan anak-anak terutama ketika mereka berada di luar dengan memastikan anak-anak tiada gejala Covid-19,” katanya.

Menurutnya, untuk me­mas­tikan anaknya memakai pelitup muka semasa ke sekolah, dia akan memastikan dalam poket baju anaknya sentiasa disediakan pelitup muka.

“Dalam poket anak saya sentiasa ada pelitup muka dan saya tidak akan membenarkan anak pergi sekolah tanpa memakai pelitup muka.

“Ke mana pun saya pergi, saya akan memakai pelitup muka sebagai langkah pen­cegahan jangkitan Covid-19,” katanya.

Seorang murid di sekolah itu yang enggan dikenali berkata, dia dan rakan-rakannya tiada masalah mematuhi SOP Co­vid-19.

“Saya pakai pelitup muka bukan hanya kerana disuruh pihak sekolah tetapi atas ke­sedaran sendiri.” jelasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×