DNA sah mayat Bella, suspek utama didakwa hari ini

DNA sah mayat Bella, suspek utama didakwa hari ini

ALLAHYARHAM MIRA SHARMILA SAMSUSAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Suspek utama kes kehilangan ibu tunggal, Mira Sharmila Samsusah, 32, atau di­kenali Bella akan didakwa di Mah­kamah Majistret Batu Pahat, hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat memaklumkan suspek utama yang mempunyai kaitan dengan kehilangan Bella pada 14 Disember tahun lalu akan dituduh pada pukul 9 pagi di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Perkara itu dimaklumkannya da­lam satu kenyataan semalam.

Pada 21 Januari lalu, polis menahan reman tiga individu termasuk teman lelaki Bella selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah mengesahkan penahanan reman terhadap kesemua tertuduh yang berusia antara 24 hingga 39 tahun itu hingga 27 Januari ini.

Sementara itu, polis mengesahkan keputusan DNA (asid deoksiribonukleik) adalah milik Bella.

Dalam perkembangan lain, kakak Bella iaitu Norhisham, 36, berkata, menanti keputusan DNA itu amat menyiksakan ahli keluarganya.

Katanya, situasi itu turut ditanggung ibunya, Noraini Salleh serta dua anak Bella, Eusuf, 4, dan Maream,1, yang masih dahagakan belaian kasih seorang ibu.

“Selepas menanti lebih sebulan kehilangan adik, mana mung­kin kami dapat menerima satu berita sedih walaupun menyedari ia adalah ketentuan dan takdir Allah,” katanya.

Kes kehilangan Bella mendapat perhatian ramai apabila Norhisham tampil membuat laporan polis selepas adik­nya itu gagal dihubungi pada malam 14 Disember tahun lalu.

Menerusi rakaman sistem te­levisyen litar tertutup (CCTV) yang diambil daripada jiran Bella me­nunjukkan wanita itu keluar dari rumah sebelum menaiki sebuah kereta berwarna putih disyaki milik teman lelakinya.

Namun selepas lebih sebulan pencarian Bella, polis me­nemukan rangka manusia tidak sempurna di sebuah rumah yang terbiar di Tongkang Pechah, Batu Pahat Jumaat lalu.

Polis percaya rangka tersebut mempunyai kaitan dengan kes kehilangan Bella berdasarkan penemuan pakaian sama dengan yang dipakai mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN