BATU PAHAT: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang juga rakan sekelas Allahyarham Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas dakwaan membunuh remaja perempuan berkenaan.
Difahamkan, prosiding berkenaan berlangsung selama kira-kira 15 minit di hadapan Majistret, Mustaqim Sukarno dalam keadaan tertutup dengan hanya dihadiri peguam serta ahli keluarga terdekat kerana tertuduh dibawah umur.
Tiada pengakuan direkodkan tertuduh kerana kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah menyebabkan bunuh dengan menyebabkan kematian Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal antara pukul 2.30 petang hingga 4 petang di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Seth, di sini pada 3 Oktober lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 tahun hingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Juanita Mohd. Said dan Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias dan Suhaila Shafi’uddin.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 22 Disember untuk sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Yong Peng bagi mendapatkan laporan forensik dan post mortem, sebelum dibawa ke Mahkamah Tinggi.
Mahkamah turut memaklumkan tiada jaminan diberi memandangkan tertuduh didakwa kerana membunuh.
Sementara itu, Mohd. Azlan Shah berkata, tertuduh akan ditahan di dalam sel berasingan dengan tahanan-tahanan lain.
Pada 3 Oktober lalu, media melaporkan Irene Sofiya ditemukan maut dipercayai mati dibunuh di dalam dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Seth, kira-kira pukul 5.30 petang.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad dilaporkan berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta tubuh badannya.
Susulan itu katanya, pihaknya telah menahan reman seorang remaja lelaki berusia 16 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-UTUSAN











