496.21 hektar sawah di Perlis berdepan risiko tanah jerlus

496.21 hektar sawah di Perlis berdepan risiko tanah jerlus

SELUAS 496.21 hektar kawasan tanaman padi di Perlis berdepan risiko sawah padi jerlus jika tidak ada sebarang tindakan diambil.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Seluas 496.21 hektar kawasan tanaman padi di negeri ini berdepan risiko atau bakal menghadapi masalah sawah padi jerlus jika tidak ada sebarang tindakan diambil untuk menanganinya.

Kawasan di dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang berdepan risiko tersebut adalah seperti di A-I Arau (46.7 hektar); B-I Kayang (171.8 hektar); C-I Kangar (120.59 hektar); D-I Tambun Tulang (18.7 hektar) dan E-I Simpang Empat (138.38 hektar).

Sehingga November tahun lalu, kawasan yang sudah terlibat di negeri ini adalah seluas 38.04 hektar.

Keseluruhan kawasan tanaman padi di dalam dan luar kawasan MADA di Perlis adalah 28,033 hektar membabitkan 15,960 pesawah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad berkata, berikutan masalah tersebut, seluas 88 hektar kawasan sawah padi tidak boleh melaksanakan aktiviti penanaman padi bagi musim 2/2022 lalu.

Katanya, masalah infrastruktur seperti saliran menjadi salah satu punca masalah tanah jerlus tersebut dan perlu diselesaikan.

Dalam konteks Perlis sahaja, kata beliau, sebanyak RM223.4 juta diperlukan untuk menyelesaikan sistem pengairan di seluruh kawasan penanaman padi di negeri ini.

“Masalah infrastruktur khususnya berkaitan sistem pengairan di kebanyakan kawasan di negeri menjadi antara faktor kepada masalah tanah jerlus itu selain masalah-masalah lain,” katanya.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan berusaha memulih dan membangunkan kawasan sawah padi jerlus sebagai salah satu langkah untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) pengeluaran beras negara sekali gus mampu mengurang­kan kebergantungan kepada import.

Langkah tersebut antara 12 inisiatif diperkenal Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerusi Gelombang Padi bagi menambah baik me­kanisme pelaksanaan sedia ada serta hala tuju baharu industri padi dan beras negara.

Sementara itu, Razali berkata, disebabkan masalah prasarana seperti itu menyebabkan pesawah tidak dapat mengusahakan tanaman padi mengikut jadual sebetulnya.

“Jika masalah saliran dapat diselesaikan bukan sahaja membantu menyelesaikan isu tanah jerlus sebaliknya turut membantu pesawah melonjakan hasil tanaman melalui sistem pengairan yang lebih sempurna,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pesawah, Mohd. Nazri Subuh,48, berkata, masalah sawah padi jerlus bukan sahaja boleh menjejaskan pengeluaran padi bahkan menambah kos pesawah untuk mengatasi masalah berkenaan.

Katanya, terdapat banyak kawasan sawah padi di Perlis yang sering kali berdepan masalah itu sekali gus menyebabkan mereka mengalami kerugian.

“Sistem pengairan yang lebih efektif dilihat mampu membantu untuk memulih dan membangunkan kawasan sawah padi jerlus ini.

“Masalah tanah sawah jerlus ini bukan sahaja disebabkan faktor cuaca tetapi bekalan air atau saliran untuk penanaman padi yang tidak diuruskan dengan baik turut menyumbang kepada masalah tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN