PUTRAJAYA: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan kesal dengan sikap jelik warga kota meraikan Tahun Baharu 2024.
Malahan menurut Pengarahnya, Ummi Kalthum Shuib, kutipan sampah di tiga kawasan tumpuan di Kuala Lumpur ketika sambutan ambang kali ini turut menyaksikan lonjakan kepada 3.06 tan berbanding 2.98 tan semasa Tahun Baharu 2023.
“Saya secara umum berasa amat geram kerana seolah-olah menunjukkan masyarakat kita tidak kisah lagi buang sampah merata-rata tanpa bersalah,” katanya ketika dihubungi.
Media kelmarin melaporkan hantaran tular Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memaparkan suasana kotor lokasi popular di ibu negara selepas sambutan berkenaan dengan seramai 128 pekerja syarikat Alam Flora Sdn. Bhd. melakukan operasi pembersihan tanpa henti dari pukul 10 malam Ahad lalu sehingga 8 pagi keesokannya.
Kawasan Bukit Bintang merekodkan kutipan sisa paling tinggi iaitu 1.98 tan diikuti pula Dataran Merdeka dengan sebanyak 0.19 tan manakala sekitar KLCC pula ialah 0.29 tan.
Mengulas lanjut, Ummi Kalthum berkata, senario kali ini wajar diberi perhatian serius oleh pihak DBKL yang dijangka menjadi tuan rumah perarakan Hari Kebangsaan 2024 nanti.
“Bayangkanlah sebelum ini Putrajaya sebagai hos perayaan itu pada 31 Ogos 2023 lalu merekodkan hampir 20 tan sampah dibuang sepanjang laluan perbarisan,” jelasnya.
Senario amat memalukan itu menyaksikan seramai 125 petugas Alam Flora terpaksa bekerja keras dari pukul 4 pagi sehingga 7 malam membabitkan lapan zon yang ditetapkan.
Justeru SWCorp ujarnya, berharap agar ‘mimpi ngeri’ itu tidak akan berlaku pula di Kuala Lumpur pada 31 Ogos depan kerana jika terjadi ini menjejaskan imej positif ibu negara.
Ia berdasarkan pengalaman pahit semasa sambutan perayaan itu pada 2022 apabila DBKL rugi teruk RM620,000 akibat landskap rosak musnah dipijak lebih 100,000 pengunjung. – UTUSAN










