28 kesalahan seksual: Hukuman penjara 428 tahun dan 240 sebatan diketepikan

28 kesalahan seksual: Hukuman penjara 428 tahun dan 240 sebatan diketepikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Melaka mengetepikan hukuman penjara 428 tahun dan 240 sebatan terhadap seorang bapa atas 28 kesalahan seksual iaitu merogol, seks menggunakan objek, seks luar tabii dan amang seksual fizikal terhadap dua anak kandungnya.

Hakim Mohd. Radzi Abdul Hamid membenarkan rayuan bekas penyelia syarikat pemegang pelaburan itu terhadap hukuman dan menggantikannya dengan hukuman penjara 37 tahun dan 24 sebatan maksimum.

Pada 20 September 2022, Mahkamah Sesyen Ayer Keroh menjatuhkan hukuman penjara 428 tahun dan 240 sebatan atas semua kesalahan itu. Hukuman diperintahkan berkuat kuasa serentak menjadikan lelaki itu hanya menjalani hukuman penjara 46 tahun.

Hakim Mohd. Radzi mengurangkan jumlah hukuman penjara selepas berpuas hati tempoh 46 tahun itu merupakan tempoh yang melampau setelah mengambil kira faktor usia dan keadaan fizikal dan kesihatan perayu.

“Mahkamah berpendapat perayu harus diberi peluang menikmati kebebasan ketika sisa hidupnya apabila keluar penjara dalam usia 81 tahun yang mana kemungkinan dia menjadi ancaman kepada masyarakat adalah kecil.

“Mahkamah berpendapat kemungkinan perayu boleh mengancam anak-anaknya yang sudah dewasa dan masyarakat pada usia lanjut adalah rendah,” demikian menurut penghakiman bertarikh 2 Januari lalu yang diperoleh pihak media hari ini.

Lelaki berusia 57 tahun itu didakwa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Nariman Badruddin, atas 21 pertuduhan merogol, lima pertuduhan melakukan seks mengunakan objek dan masing-masing satu pertuduhan seks luar tabii dan amang seksual fizikal.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di antara 24 September 2015 dan dan 5 September 2022 ketika kedua-dua mangsa mencecah usia 12 tahun di rumah mereka.

Hakim Mohd. Radzi berpuas hati perayu tidak diprejudiskan ketika hakim bicara menerima keterangan laporan bertulis Kenyataan Impak Mangsa (VIS) tanpa terlebih dahulu menerima permohonan mangsa dan keluarganya.

Pihak pembelaan menghujahkan, keterangan laporan VIS hanya boleh diterima jika mangsa dan keluarga tidak hadir memberi keterangan.

Hujah pembelaan, oleh kerana mangsa atau keluarga mangsa tidak memohon untuk keterangan VIS serta tiada sebab dikemukakan mengapa mangsa dan keluarga tidak dapat hadir, VIS itu tidak sepatutnya diterima oleh hakim bicara.

Hakim Mohd. Radzi bagaimanapun berpandangan, Seksyen 183A(1) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) menyatakan bahawa keterangan VIS adalah satu manfaat dan hak undang-undang kepada mangsa, bukan kewajipan atau pra syarat sebelum hukuman dijatuhkan.

Ujar beliau, VIS hanya untuk membantu mahkamah memahami kesan dan akibat kesalahan yang dilakukan terhadap kehidupan mangsa dan keluarganya selain pencabulan tubuh mangsa kanak-kanak oleh bapa kandung merupakan aib besar kepada mana-mana mangsa dan keluarganya.

“Tidak susah untuk membayangkan cabaran yang dihadapi oleh anak yang masih muda untuk memberi gambaran lisan dalam mahkamah terhadap apa yang dilaluinya.

“Dalam hal ini kesalahan dilakukan berulang kali dan mahkamah percaya kehadiran mangsa untuk memberi keterangan secara lisan sangat membebankannya dan keluarga dari segi mental dan emosi,” ujar hakim berkenaan.

Oleh yang demikian, Hakim Mohd. Radzi mendapati tiada prejudis terhadap perayu apabila VIS dikemukakan secara bertulis, bukan lisan.

Hakim berkenaan turut menolak alasan rayuan berhubung isu kesihatan melibatkan penyakit kencing manis yang kritikal, darah tinggi, jantung dan penyakit kulit yang dihidapi perayu.

Mahkamah berpuas hati, tiada keterangan menunjukkan bahawa kemudahan kesihatan di penjara tidak dapat merawat perayu atau terhadap halangan untuknya mengakses rawatan sewajarnya.

Mengikut fakta kes, detik hitam menimpa dua beradik itu berlaku sejak 2015 dan terbongkar selepas isteri mangsa ternampak tertuduh sedang merogol anak keduanya kini berusia 15 tahun dalam kejadian terbaru pada 5 September 2022.

Tertuduh yang mempunyai dua isteri melakukan perbuatan terkutuk itu di dalam rumah termasuk sofa ruang tamu, bilik kelamin dan bilik tidur kedua-dua mangsa.

Antara kandungan VIS menyatakan, mangsa pertama yang kini berusia 19 tahun turut memberitahu tidak lagi mempercayai malah membenci lelaki seusia bapanya itu walaupun mereka baik kepadanya.

Laporan VIS itu turut menyatakan, mangsa kedua yang kini berusia 15 tahun pula antara lain mengaku hampir gila memikirkan perbuatan jijik bapanya itu yang menggunakan pelbagai ugutan dan helah serta memaksanya mengadakan seks biarpun ibunya berada di rumah.

“Malahan, tertuduh juga ada ketika meminta ibu mangsa balik ke kampung atau pergi membeli barangan dapur dan melarang mangsa mengikutnya bagi membolehkan dia melakukan seks dengan mangsa di rumah,” demikian menurut pihak pendakwaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya