Tunggang Vespa 4,000 km ke Kemboja

Tunggang Vespa 4,000 km ke Kemboja

RAHIM Amat menunggang motosikal klasik jenis Vespa yang sudah berusia 50 tahun ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Demi melihat dan merasai sendiri kesan-kesan tinggalan sejarah berkaitan era kezaliman pemimpin tertinggi Khmer Rouge, Pol Pot di Kemboja, seorang warga emas, Rahim Amat sanggup mengharungi perjalanan sejauh 4,000 kilometer (km) dari Melaka ke negara berkenaan.

Rahim yang sudah berumur 72 tahun bakal menunggang motosikal klasik jenis Vespa miliknya bersama anak lelaki dan empat lagi rakan seusia merentasi lima negara iaitu Thailand, Myanmar, Laos, Vietnam dan Kemboja.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, beliau berkata, perancangan awal kembara itu mahu dilakukan secara solo berikutan sudah berpengalaman menunggang motosikal ke luar negara sebelum ini.

Bagaimanapun, ujarnya, atas nasihat ahli keluarga yang berasa risau dengan umurnya ditambah pula pujukan rakan-rakan untuk turut serta, perjalanan bermusafirnya kali ini diadakan secara berkumpulan.

“Saya bercita-cita untuk ke Indonesia menggunakan jalan darat, namun disebabkan tiada laluan sedemikian maka kali ini saya putuskan untuk ke Kemboja. Kami berenam akan bertolak pada Selasa depan, dijangka mengambil masa selama 12 hari.

“Di Kemboja banyak kesan tinggalan sejarah berkaitan kezaliman Pol Pot. Saya amat meminati sejarah jadi hendak lihat dengan mata dan kepala sendiri,” katanya.

Pada 17 April 1975 hingga 7 Januari 1979, dilaporkan tentera Pol Pot memaksa rakyat yang ditangkap mengaku kesalahan mereka dan mendedahkan maklumat yang diinginkan.

Bentuk seksaan seperti pasung, sebat, jari dan kuku dicabut menggunakan playar serta disimbah air panas seolah-olah kebiasaan bagi tentera Khmer Rouge, sehingga ada antara tahanan merayu supaya dibunuh kerana tidak sanggup menanggung seksaan.

Tambah Rahim, mereka juga akan membawa bendera Melaka dan Jalur Gemilang sebagai identiti nasional, selain membantu mempromosikan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN