PETALING JAYA: Malaysia perlu segera mengambil kesempatan menerusi projek jambatan darat Thailand dengan melaksanakan beberapa projek berimpak tinggi yang menguntungkan negara termasuk mempertimbangkan pelaksanaan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Pusat Pengajian Ekonomi Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd. Khan berkata, projek KXP dilihat mampu memberi impak tinggi dengan menawarkan perkhidmatan kargo udara.
Katanya, KXP sudah tentu akan menambah baik, membuka peluang baharu dan meningkat produktiviti.
“KXP perlu dilihat sebagai nilai tambah positif kepada keseluruhan pembangunan ekonomi wilayah utara dan Malaysia khususnya.
“Perkhidmatan hab kargo akan berkembang dan mampu memberi sokongan positif terhadap pelabuhan serta perkhidmatan kargo lapangan terbang di Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi.
Isnin lalu, Thailand mengumumkan untuk membina pelabuhan dan jambatan darat yang bakal memendekkan perjalanan kapal antara Asia dan Eropah kerana tidak perlu melalui Selat Melaka.
Projek yang menghubungkan Teluk Siam dan Laut Adaman itu melibatkan laluan sejauh 90 kilometer itu dijangka memendekkan perjalanan menerusi laut selama empat hari dan menjimatkan kos sehingga 15 peratus.
Sementara itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pelaksanaan projek KXP merupakan alternatif yang berpotensi mengimbangi kesan ekonomi yang mungkin timbul daripada projek berkenaan.
Tambah beliau, projek tersebut juga mampu merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia selain mampu memperkukuhkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
“Kerajaan perlu menjalankan kaji selidik berkenaan impak yang bakal berlaku apabila jambatan darat Thailand dibina tidak kira dari segi ekonomi mahupun sosial supaya tidak akan menjejaskan mana-mana industri atau sektor.
“Saya lebih cenderung untuk kerajaan mengenal pasti industri mana yang terjejas dan setiap penyelesaian perlu menjurus ke arah memastikan industri yang terjejas itu dapat diselamatkan,” katanya.
Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, projek jambatan darat yang menghubungkan Malaysia dan Thailand dilihat lebih menguntungkan negara seberang jika tiada projek berimpak tinggi di utara Semenanjung.
“Memang benar jika jambatan ini dibina, ia boleh memberi faedah kepada kedua-dua negara yang terlibat. Namun, dikhuatiri hanya Thailand menerima manfaat manakala Malaysia hanya menjadi hab untuk mengeksport barangan tempatan mereka.
“Thailand adalah pengeluar makanan halal terbesar tetapi sijil halal mereka kurang diyakini berbanding dengan sijil halal Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, penganalisis politik, Prof Dr. Azmi Hassan berkata, projek jambatan darat ini pasti menggugat beberapa pelabuhan Malaysia termasuk Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Klang.
“Namun, ia juga boleh memberi kesan positif jika laluan darat tersebut berdekatan dengan laluan di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu,’’ katanya. – UTUSAN










