PETALING JAYA: Siasatan kes bunuh Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, hari ini tertumpu kepada pengambilan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) dan pencarian bukti-bukti di lokasi kejadian berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai di sini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya setakat ini telah mengambil sampel DNA daripada 228 penduduk kawasan tersebut.
“Kesemua (228 DNA) sampel itu diambil daripada sebahagian penduduk di semua 18 blok, Apartment Idaman.
“Proses itu akan diteruskan bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut Hussin, pihaknya setakat ini telah menjalankan pemeriksaan terhadap 5,628 penghuni membabitkan 2,484 kediaman di kawasan terbabit.
“Pencarian bukti-bukti masih diteruskan walaupun keadaan hujan yang agak memperlahankan operasi pihak polis.
“Operasi pencarian bukti serta pengambilan sampel DNA ini membabitkan 278 pegawai dan anggota daripada 90 pasukan,” katanya.
Semalam, Hussein dilaporkan berkata, polis belum dapat menjejaki pembunuh Zayn Rayyan kerana maklumat dikumpul sehingga kelmarin sangat terhad.
Beliau dilaporkan berkata, keterangan dalam siasatan setakat ini belum memadai untuk membolehkan polis mengesan dan menahan suspek pembunuhan kanak-kanak itu.
Setakat ini polis telah merakam keterangan 20 individu, termasuk ibu bapa mangsa dan lelaki yang menemukan mayat Zayn Rayyan pada malam Rabu lalu. – UTUSAN










