TUMPAT: Penduduk di 10 buah kampung yang terletak di pinggir Sungai Golok dekat Pengkalan Kubor di sini mendesak kerajaan membina pembetung di tiga lokasi sepanjang kawasan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.
Dakwa penduduk, ketiadaan pembetung itu telah menyekat aliran air keluar sekali gus menyebabkan penduduk Kampung Simpangan, Bendang Pak Yong, Jejulok, Kajang Sebidang dan sekitar berdepan masalah banjir termenung.
Wakil penduduk. Ariffin Awang Chik, 62, berkata, pembinaan itu merupakan cara terbaik untuk mengalirkan air banjir yang bertakung lebih satu meter di sebelah benteng PLSB keluar ke Sungai Golok.
“Benteng itu menjadi punca banjir termenung di sini kerana air bah hanya akan turun ke laut melalui pintu air di Pengkalan Nangka yang jaraknya jauh dari kampung kami.
“Oleh itu, kami berpandangan, pembinaan pembetung boleh dijalankan di Kuala Kudung, Kuala Leno dan Pohon Nibong,” katanya ditemui di Kampung Nibong semalam.
Ariffin memberitahu, lebih banyak pembetung dibina di pinggir Sungai Golok kerana 10 buah kampung terjejas semasa banjir.
Seorang lagi penduduk, Kasim Omar, 62, sepatutnya banjir cepat surut kerana paras air Sungai Golok lebih rendah berbanding air banjir yang bergenang di sebelah benteng.
Katanya, air banjir tersekat dan mengambil masa yang lama untuk surut disebabkan benteng PLSB.
“Meskipun kami sudah lali dengan banjir, banjir termenung akan menyusahkan penduduk kerana banyak urusan akan tergendala,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Ismail Awang Senik, 60, berkata, dia berharap kerajaan akan mendengar rintihan penduduk di sini.
“Jadi, pembetung perlu lebih banyak dibina di sini untuk mengalirkan air keluar. Walaupun ada beberapa pintu di pinggir Sungai Golok, ia tidak mencukupi untuk mengalirkan air banjir,” katanya. – UTUSAN










