LAMA sebenarnya saya menyimpan hasrat untuk membingkaikan wajah pelakon cantik ini sebagai muka sampul hadapan Pancaindera.
Beberapa kali tarikh diberi, namun ternyata kesibukan jadual membatalkan rancangan. Lantas apabila persetujuan diberi, saya mula berfikir, entah apa yang ‘merasuk’ aktres, Hannah Delisha ini?
Mana tidaknya, sudah beberapa bisikan mengatakan Hannah semakin sombong singgah di telinga ini.
“Sombong? Bukan awak sahaja dengar, saya sendiri sudah beberapa kali menerima persepsi itu? Saya pun keliru. Banyak tawaran sangkut gara-gara dakwaan sebegitu. Sedangkan saya ini biasa sahaja.” Itu pembuka bicara pelakon kelahiran Singapura ini.
Baginya, dakwaan sukar didekati itu sedikit sebanyak memberi impak besar terhadap tawaran dan penerimaan pemain industri seni selama ini.
Lantas saya ajukan soalan, bagaimana dakwaan itu boleh muncul? Adakah Hannah pernah menolak pelawaan peminat atau sukar untuk dihubungi?
Mengambil nafas sebentar, Hannah meminta agar jawapan yang bakal dilontarkan tidak dikaitkan dengan sesiapa tetapi sebagai satu pengajaran untuk dia dan pendatang baharu dalam industri seni tanah air.
“Mungkin ramai juga tahu, saya sudah tukar pengurusan. Mungkin pengurusan dahulu terlepas pandang dan sibuk menyusun pergerakan artis lain di bawah naungan sama sehingga lupa kewujudan saya.
“Mungkin juga, itu imej yang mahu dicipta untuk saya. Tetapi tidak sama sekali, saya bukan sombong atau sukar didekati. Reserved, ya tetapi bongkak dan angkuh, tidak.
“Saya tidak ada masalah dengan sesiapa. Saya bukan suka cari gaduh. Saya hanya buat hal sendiri, tetapi persepsi itu sering kali saya dengar. Tiba masa untuk saya runtuhkan tembok itu,” ujarnya.
Meluahkan kekecewaan, apa yang paling sukar untuk ditelan adalah pandangan peminat. Tanpa mengenali dirinya sebenar, ramai melabel dia angkuh.
“Saya sudah lama tidak dijemput ke majlis anugerah, acara-acara hiburan dan ada juga dengar stesen televisyen sukar hubungi saya. Ada yang cakap tak nak ambil saya berlakon sebab unreachable.
“Tahun ini saya mula sedar semua itu. Saya cari jalan, tukar pengurusan dan terbuka dengan mana-mana undangan jika tidak ada pertindihan jadual. Kecewa? Iya tetapi paling penting, mengubah persepsi,” kongsinya.

MEMANUSIAKAN DIRI SEMULA
MELAYANGKAN pertanyaan kesihatan mental yang kini menjadi bualan hangat, pelakon berusia 27 tahun ini bersyukur dia masih mampu untuk mengawal emosi dan diri walaupun adakala lelah bekerja.
Dulu dia tidak peduli jika tindihan tawaran diterima dalam satu-satu masa, namun dia sedar itu hanya membebankan diri dan emosi. Pernah sekali dia merasakan diri seperti mesin, yang bekerja tanpa ada butang berhenti.
“Biasalah ketika mula-mula jadi pelakon, kita terlalu teruja untuk berkarya dan membuktikan bakat. Masa itu juga tawaran datang bersilih ganti, saya fikir kenapa tidak. Saya mahu cuba semua watak.
“Tetapi sampai satu detik, saya mula rasa burn out. Kepenatan bekerja mula mengganggu emosi dan diri. Saya tak boleh terus begini. Buat diri seperti mesin. Jadi, saya perlu memanusiakan diri semula.
“Perlu ada rehat, mencuri masa untuk bercuti tenangkan diri. Saya sedar, diri ini bukan produk yang boleh diusung ke sana ke sini. Saya mahu bekerja dalam keadaan happy dan tidak terbeban dengan kepenatan,” katanya.
Baginya juga, masalah peribadi dan kehidupan yang sibuk juga membuatkan dia tidak mahu memaksa diri untuk membuktikan apa-apa. Semuanya dijalani dengan tenang, tidak perlu terburu-buru.
Apatah lagi, di tangga usia seninya menghampiri tujuh tahun, dia sebenarnya sudah boleh berasa sedikit selesa dan mencari ruang untuk kembali menjadi Hannah Adlina Blackburne Birch.
“Setiap manusia ada ujian dan masalah masing-masing. Tidak kira kerja atau kehidupan peribadi. Tipulah kalau saya cakap tidak ada. Ya, saya bahagia dan hidup ini indah tetapi masalah tetap ada.
“Tipu juga kalau saya cakap tidak penat berlakon. Apatah lagi bila perlu berada di set penggambaran dari awal pagi ke lewat pagi. Ada kala saya perlu selesaikan berpuluh babak menangis sahaja.
“Bayangkan penatnya sepanjang satu hari menangis. Tetapi saya mencari kebahagiaan bekerja itu, seronokkan diri.
“Saya tak mahu menekan diri. Penat macam mana pun, saya akan pastikan semuanya dilalui dengan perasaan tenang,” kongsinya.

BUKAN BERHATI-HATI, CUMA BUKAN CARA KAMI
NAMANYA jarang dikaitkan dengan kontroversi panas menggelegak. Apatah lagi tidak banyak kisah sensasi yang legar tentang dirinya atau perkahwinannya.
Adakah Hannah terlalu berhati-hati? Tidak selesa berkongsi cerita?
“Bukan berhati-hati tetapi itu sudah menjadi kebiasaan untuk kami berdua. Dari dulu, kami bukan jenis yang akan menguar-uarkan sesuatu. Bagi kami, biarlah peribadi itu kekal peribadi.
“Suami juga tidak pernah menghalang atau menyekat kerjaya saya. Asal saya tahu bawa diri. Malah kalau saya atau dia mahu muat naik gambar bersama sekali pun, kami akan berbincang kesesuaiannya.
“Bagi kami, itu cara dan tindakan yang bersifat peribadi. Biarpun ada pelbagai khabar angin kami dengar tetapi, tidak apa. Kami bahagia dengan cara sendiri,” ujarnya yang juga seorang penyanyi.
Sengaja melayangkan soalan tentang zuriat, pelakon drama popular, Cinta Sekali Lagi dan Andainya Itu Takdir ini hanya tersenyum dan menjawab; “Soal itu biarlah Tuhan menyusunnya.
Kami tidak pernah merancang dan memaksa diri. Rezeki itu akan datang tepat dan sesuai pada detik yang telah tertulis,” katanya.










