IPOH: “Saya sebak dan terharu. Tidak pernah sangka akan dapat pengiktirafan setinggi ini daripada Yang di-Pertuan Agong.”
Demikian luah pengawal keselamatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), R. Yogeswary, 44, yang tersenarai sebagai penerima pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan daripada Yang di-Pertuan Agong pada 19 Disember ini.
Yogeswary sebelum ini tular di media sosial kerana sikap prihatinnya terhadap pesakit dan pelawat ketika mengunjungi hospital berkenaan.
Menurut ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu, dia mengetahui berita gembira tersebut melalui kiriman surat secara rasmi yang diterima dua hari lalu.
Katanya, dia seolah-olah tidak percaya dengan perkhabaran itu sehinggalah dia sendiri melihat namanya tertera pada surat berkenaan
“Saya rasa cukup sebak dan seperti mahu menangis kerana terharu. Ini adalah penghargaan tertinggi dalam hidup saya dan rasa seperti mimpi.
“Saya tidak sangka kerja saya mendapat pengiktirafan. Saya percaya, ini adalah berkat doa daripada orang ramai yang datang ke hospital.
“Setiap kali saya tolong mereka yang mengunjungi hospital, saya pasti minta mereka doakan saya. Saya anggap diri saya betul-betul bertuah kerana ramai yang hargai,” katanya.
Menurut Yogeswary, dia akan ditemani kakaknya menghadiri istiadat yang diadakan di Balairung Seri Istana Negara, Kuala Lumpur dan merancang menyediakan baju baharu untuk dipakai pada hari penuh bermakna itu.
“Setakat ini belum ada persediaan lagi, mungkin saya akan beli baju yang sudah siap sahaja. Saya bercadang untuk pakai baju kebaya.
“Apa pun, saya memang sangat gementar. Perasaan saya sekarang bercampur baur,” ujar anak kelahiran Ipoh itu.
Gelagat Yogeswary mendapat perhatian ramai apabila dia tidak lokek membantu pelawat yang mengunjungi Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi HRPB termasuk membukakan pintu kereta, mengangkat barang, menjaga lalu lintas di tempat letak kenderaan dan menenangkan pesakit yang cemas.
Sikap prihatin wanita tersebut turut mendapat perhatian dan pujian Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa.
Atas komitmen tinggi ditunjukkannya, Yogeswary kini ditugaskan mengawal keselamatan di Kompleks Rawatan Harian HRPB bagi membantu warga emas dan kurang upaya (OKU) sejak enam bulan lalu. – UTUSAN










