Pengalaman lebih bernilai daripada wang ringgit - Utusan Malaysia

Pengalaman lebih bernilai daripada wang ringgit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADIWIRA yang kurang didendangkan. Itu deskripsi paling tepat mengenai  figura bernama Jennifer Thompson, 60, yang selama ini menjadi tulang belakang kebanyakan acara termasuk konsert artis tempatan dan antarabangsa. 

Pengalaman 40 tahun yang dikumpul beliau sepanjang pembabitan dalam dunia seni tanah air tidak boleh dibeli dengan wang. 

Insan yang mesra disapa sebagai Kak Jenn ini pernah bekerjasama dengan ramai seniman kelas pertama negara, dari penyanyi, komposer, pelakon, pengurus artis, syarikat rakaman, pengarah seni dan persembahan sehinggalah pengarah artistik. 

Nama Jennifer mungkin tidak sepopular Datuk Seri Siti Nurhaliza atau Datuk M. Nasir. Tetapi dalam kalangan penggiat seni, beliau amat dihormati dan disegani. 

Saya acap kali berjumpa beliau dalam acara hiburan dan program kesenian. Cuma baru kali ini berkesempatan duduk semeja untuk bertanyakan perihal latar belakang dan sebalik pembabitan wanita yang mungkin selayaknya digelarkan iron lady ini. 

Sejarah hidup Jennifer dan kisah pembabitannya dalam dunia seni tempatan menarik untuk diceritakan. 

Kongsi Jennifer, beliau, seawal enam tahun lagi sudah menerima pendedahan terhadap lagu tempatan dan antarabangsa. 

Kefahamannya terhadap dunia hiburan terlalu mendalam meskipun beliau tidak dikurniakan bakat dan kebolehan untuk menjadi pemuzik dan penyanyi.

MINAT MUZIK

JENNIFER anak tunggal pasangan kahwin campur. Bapanya pernah berkhidmat sebagai askar Ireland yang dihantar ke Tanah Melayu untuk memerangi komunis. Sementara ibunya yang berdarah Inggeris Cina, bekerja sebagai kerani. 

“Seni tidak mengalir dalam darah kami. Tetapi, minat terhadap muzik tetap ada. Ibu bapa saya selalu mendengar muzik klasik, jazz dan rock dan mendedahkan saya kepada pelbagai jenis lagu. 

“Saya minat kepada muzik antarabangsa dan cukup mengagungkan kumpulan The Carpenter, ABBA dan ramai lagi. Pendedahan terhadap muzik tempatan pula dibawa makcik yang mengasuh saya ketika itu. Secara tidak langsung, saya mengikuti penyanyi-penyanyi tempatan pujaannya. 

“Bayangkan, kerana minat, saya mengikuti perkembangan muzik Melayu meskipun dibesarkan dalam keluarga yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai komunikasi harian,” kongsinya. 

Jennifer menerima hakikat yang beliau tidak dianugerahkan bakat bermain muzik dan menyanyi. 

Namun, minat yang mendalam secara tidak langsung menarik beliau masuk ke dalam industri seni tempatan. 

“Ketika berusia 20 tahun, saya selalu ke kelab malam untuk menonton persembahan. Di situlah saya berkenalan dengan pemuzik dan penggiat seni. 

“Boleh katakan kelab malam menjadi tempat yang mendedahkan saya kepada senario dunia seni sebenar. Saya nampak masalah yang dihadapi pemuzik dan mereka yang bekerja dalam industri seni. Dengan mereka, saya banyak berkongsi pandangan dan bertanya tentang industri. 

“Saya bertuah kerana pada usia muda, saya diambil bekerja oleh pengurus artis terkenal, Mike Bernie Chin sebagai pengurus artis dan acara. Mendiang nampak minat saya kepada industri seni ,” kongsinya.

EMPAT DEKAD YANG BERHARGA

SELEPAS empat tahun bekerja untuk Mike Bernie Entertainment Company, Jennifer bertukar angin dengan menyertai Music City Sdn. Bhd. Sebagai pengurus artis pada 1987. 

Lima tahun kemudian beliau beralih kepada syarikat King Studio selaku pengarah pembangunan perniagaan dan operasi studio. 

Beliau kemudian dilantik menjadi Pengurus Besar Persatuan Akademi Industri Muzik pada 1997. Kini Jennifer menguruskan operasi syarikat miliknya sendiri, J TWO I Entertainment Sdn. Bhd. 

Sepanjang pembabitan dalam dunia pengurusan acara, Jennifer diberi kepercayaan untuk mengendalikan banyak majlis penganugerahan dan konsert berskala besar. 

Antaranya beliau pernah dipertanggungjawabkan selaku penerbit siaran langsung Anugerah Industri Muzik selama 15 tahun selain Anugerah Bintang Popular (9 tahun). 

Jennifer juga pernah mengendalikan acara berskala antarabangsa seperti Konsert Sunburst yang berlangsung antara 2008 hingga 2009, Rockaway dan Future Music Festival (2012). 

Beliau turut diberi kepercayaan mengendalikan acara nasional seperti Majlis Pelancaran Proton Saga, Saga Aeroback, Wira, Wira Aeroback dan Perdana antara 1985 hingga 1995, Pelancaran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur serta acara pembukaan dan penutup Sukan Komanwel (1998). 

Jennifer juga diberi kepercayaan mengendalikan konsert artis ternama seperti Search, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Awie, Ziana Zain, Ella, Datuk M. Nasir dan ramai lagi dari tahun 1991 hingga sekarang.

SUKAN SEA 2017

DISOAL tentang tugasan paling mencabar sepanjang kariernya, Jennifer mengakui acara pembukaan dan penutup sukan SEA 2017 antara yang paling seronok untuk dikenang. 

Katanya, pada acara itulah, beliau menyaksikan apresiasi 80,000 penonton berbilang bangsa terhadap muzik tempatan. 

“Paling mencabar dan paling bermakna. Tiga bulan sebelum itu puas saya  fikirkan adakah saya benar-benar layak untuk mengendalikan acara penting negara. 

“Saya tidak menyangka, pada usia saya ketika itu yang menginjak 50 tahun, saya diberi kepercayaan sebesar itu. 

“Tanggungjawab sebagai show caller yang antara lain mengurus pergerakan 500 atlet serta artis-artis yang membuat persembahan memberi saya banyak ilmu dan pengajaran berharga,” katanya. 

Kata Jennifer, dia tersentuh apabila melihat sambutan masyarakat pelbagai latar belakang yang bersama-sama meraikan persembahan seni bertaraf nasional pada malam bersejarah itu. 

“Penganjur mahukan persembahan muzikal yang simbolik kepada evolusi muzik negara menerusi nyanyian lagu-lagu malar segar dan bernostalgia. 

“Pada malam penutup, saya menyaksikan dengan mata kepala sendiri stadium Nasional Bukit Jalil bergema dengan nyanyian dan sorakan penonton ketika penyanyi-penyanyi malam itu membuat persembahan dihadapan puluhan ribu manusia. Momen itu pada saya terlalu istimewa dan akan saya ceritakan kepada cucu cicit saya satu masa nanti,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN