Pembunuh Zayn Rayyan masih misteri

Pembunuh Zayn Rayyan masih misteri

ANGGOTA polis berada di lokasi penemuan mayat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai di sini, semalam.-UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Pembunuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin kekal misteri memandangkan tiada sebarang petunjuk yang diperoleh polis yang boleh mengaitkan mana-mana individu dengan jenayah itu.

Setakat lewat petang semalam, tiada penahanan mahupun apa-apa bukti yang ditemukan polis dalam menjejaki suspek meskipun siasatan kali kedua di buat di keseluruhan kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai, di sini hari ini.

Hasil tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian, beberapa pasukan polis digerakkan untuk melalukan pemeriksaan secara fizikal di kawasan perumahan yang mengandungi 18 blok apartmen dengan keluasan kawasan kira-kira lapan hektar sejak pukul 9.30 pagi.

Malah, kira-kira pukul 5.15 petang tadi, Unit Dron daripada Pasukan Gerakan Udara (PGU), Bukit Aman juga telah diterbangkan dengan ketinggian kira-kira 30 meter di udara.

Difahamkan, tujuan dron berkenaan diterbangkan adalah untuk mengesan sebarang denai atau laluan tikus yang terdapat di kawasan berkenaan bagi membantu siasatan polis berhubung kes berkenaan.

Selok belok kawasan penemuan mayat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin dipercayai hanya diketahui penghuni yang tinggal di blok berhampiran Blok R Apartment Idaman, Damansara Damai, di sini hari ini.

Penyelia Badan Pengurusan Bersama (JMB) Apartment Idaman, Nor Haizam Hidir berkata, ini kerana kawasan kejadian terbabit bukan di bawah penyeliaan pihaknya.

Malah, katanya, kawasan berkenaan juga tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

“Kita mempunyai empat kamera CCTV yang ditempatkan di laluan keluar masuk apartment, surau dan kawasan dewan serta pejabat JMB.

“Kami memang tidak pasti kawasan kejadian itu tanah persendirian atau milik kerajaan dan ia memang jarang dilalui penduduk. Kalau ada orang bercucuk tanam di situ adalah tanggungjawab masing-masing,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner, Mohd Fakhrudin Abdul Hamid berkata, masih terlalu awal untuk pihak polis merumuskan motif sebenar pembunuhan kanak-kanak autisme itu.

Kata beliau, pihaknya dalam proses mendapatkan keterangan-keterangan secara fizikal untuk mengesan suspek.

“Proses ini termasuk mendapatkan maklumat lanjut sekali lagi daripada ibu bala mangsa, jiran dan saksi bagi membantu siasatan.

“Kita sudah ambil maklumat terhadap ibu bapa, jiran dan saksi pertama yang jumpa mayat Zayn,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mengulas lanjut, Mohd Fakhrudin, siasatan ketika ini akan menumpukan keseluruhan kawasan tempat tinggal mangsa bagi mendapatkan petunjuk.

Kata beliau, siasatan lanjut di tempat kejadian membabitkan pelbagai elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Unit Forensik, Unit Anjing Pengesan (K9) serta Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Kita juga memohon orang ramai terutama penduduk setempat yang mempunyai sebarang maklumat untuk membantu siasatan polis, walau sekecil-kecil maklumat diharap dapat membantu siasatan kita.

“Tumpuan siasatan kita ialah di keseluruhan kawasan yang terdiri 2,484 kediaman serta kedai dengan keluasan kawasan kira-kira lapan hektar serta kawasan anak sungai di mana mayat mangsa ditemukan,” jelasnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN