Masuk hari ke-14 hilang, di mana Bella?

Masuk hari ke-14 hilang, di mana Bella?

MIRA SHARMILA Samsusah (kanan) yang dilaporkan hilang sejak 14 Disember lalu selepas dikatakan keluar dengan teman lelakinya ke kedai dobi layan diri di Batu Pahat, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Penahanan seorang lelaki diharapkan dapat merungkai misteri kehilangan seorang ibu tunggal yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah sejak 14 Disember lalu. 

Norisham Samsusah, 36, berkata, penahanan lelaki berusia 24 tahun kelmarin dipercayai untuk membantu siasatan bagi mengetahui kehilangan Mira Sharmila Samsusah, 34, yang lebih dikenali sebagai Bella.

Dia yakin dengan penahanan  teman lelaki ibu tunggal beranak dua itu dapat menyelesaikan misteri kehilangan itu kerana dia merupakan orang terakhir yang bersama mangsa.

“Sebagai kakak, saya amat bimbang dengan kejadian ini, apatah lagi dengan pelbagai berita dilaporkan masa kini yang berakhir dengan perkara tidak diingini walaupun dengan sebab-sebab tidak munasabah. 

“Ada juga yang cuba mengambil kesempatan daripada kesempitan orang lain yang konon mahu membantu adik Bella, namun meletakkan bayaran tidak masuk akal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Norisham, keluarganya kini buntu memikirkan tentang kehilangan anaknya itu kerana mangsa tidak pernah bermusuh dengan sesiapa sehingga menyebabkan ancaman keselamatan. 

“Kami amat berharap orang ramai dapat membantu mencari adik kerana memasuki hari ke-13 hari kehilangannya menyebabkan dua anaknya yang berusia empat dan satu tahun mencari-cari ibu mereka, terutamanya pada waktu malam. 

“Ibu juga bimbang kerana Bella keluar tanpa membawa kad pengenalan, duit serta pakaian apatah lagi telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi sejak malam kehilangannya,” katanya. 

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan pengesahan polis berkaitan penahanan lelaki berusia 24 tahun yang dipercayai teman lelaki Bella masih gagal. 

Pada 25 Disember lalu, media melaporkan Bella dilaporkan hilang oleh Norisham ketika keluar dengan teman lelakinya ke kedai dobi layan diri pukul 11.50 malam. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN