Masjid, surau di Selangor dititah sedia penyata kewangan tahunan beraudit - Utusan Malaysia

Masjid, surau di Selangor dititah sedia penyata kewangan tahunan beraudit

Masjid surau Selangor
SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan melancarkan Buku Garis Panduan Pengurusan Kewangan, Perolehan Dan Aset Masjid Dan Surau Negeri Selangor Tahun 2023 dekat Balai Tengah, Istana Alam Shah di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan masjid dan surau di seluruh negeri ini menyediakan Penyata Kewangan Tahunan Beraudit untuk diperiksa dan disemak bagi mengelak ketirisan dan pematuhan tatakelola yang betul.

Baginda dalam kenyataannya bertitah, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memastikan masjid serta surau dapat mematuhi dan melaksanakan semua ketetapan yang digariskan dalam garis panduan itu.

“Pentadbir Masjid dan Surau yang tidak mengambil berat terhadap pengurusan kewangan, perolehan dan pengurusan aset akan menyebabkan masyarakat kurang yakin tentang kredibiliti dan integriti pentadbiran mereka.

“Pengurusan perolehan juga perlu diurus dengan tatakelola yang betul agar tidak melibatkan ketirisan, penyelewengan dan salah guna kuasa,” titah baginda.

Terdahulu Sultan Sharafuddin berkenan melancarkan Buku Garis Panduan Pengurusan Kewangan, Perolehan Dan Aset Masjid Dan Surau Negeri Selangor Tahun 2023 yang diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Baginda memaklumkan, garis panduan yang disarankan itu bersesuaian dengan keperluan semasa dan disusun dengan beberapa penambahbaikan bagi meningkatkan tahap tatakelola dan tadbir urus yang cekap.

Bagaimanapun, bagi memastikan ketetapan tersebut difahami baginda meminta MAIS dan JAIS dapat melaksanakan program latihan yang intensif dan berterusan dengan menerapkan kaedah latihan yang bersesuaian dengan latar belakang pentadbir.

“Beta yakin, masjid dan surau yang mempunyai sistem pengurusan kewangan yang baik akan lebih diyakini dan akan terus mendapat kepercayaan masyarakat untuk terus memberi sumbangan dan infaq mereka.

“Beta berharap agar buku garis panduan ini juga akan menjadi rujukan penting untuk meningkatkan kualiti pengurusan kewangan bagi mengangkat integriti dan kemuliaan masjid dan surau sebagai institusi masyarakat yang dihormati melalui amalan tatakelola yang kemas dan teratur,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya