'Masa depan' Gaza jadi sasaran Zionis

‘Masa depan’ Gaza jadi sasaran Zionis

KEPULAN asap terbentuk di utara Gaza selepas dibom tentera Israel dari selatan Israel di tengah-tengah pertempuran berterusan antara Israel dan kumpulan militan Palestin Hamas, semalam.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masa depan Gaza semakin kelam apabila rejim Zionis terus menyasarkan kanak-kanak Palestin sebagai sasaran dalam kekejaman yang berterusan sejak 7 Oktober lalu sehinggakan angka korban daripada golongan itu kini meningkat kepada 8,500 orang.

Walaupun kadar kematian direkodkan adalah 8,500 orang namun angka tersebut diyakini tidak mencerminkan jumlah sebenar kanak-kanak yang terkorban kerana sehingga hari ini masih terdapat lebih 7,000 rakyat Palestin masih hilang.

Kesemua mereka dipercayai meninggal dunia di bawah runtuhan bangunan akibat serangan bom tentera Israel membabitkan kemusnahan lebih 65,000 kediaman manakala 290,000 lagi mengalami kerosakan teruk.

Berdasarkan statistik, kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah menyumbang kepada sekitar 47 peratus daripada 2.3 juta rakyat Palestin di Gaza atau sekitar 1.05 juta orang.

Bagaimanapun, dalam ribuan siri pengeboman kejam dilakukan rejim Zionis terhadap Gaza mengakibatkan hampir separuh daripada angka korban dicatatkan semalam iaitu 20,674 orang adalah terdiri daripada golongan kanak-kanak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr. Sharif Abu Shammala berkata, beliau percaya tidak kurang daripada 4,000 daripada 7,000 yang berada di bawah runtuhan bangunan di seluruh Gaza adalah kanak-kanak.

Menurutnya, perkara itu adalah berdasarkan faktanya bahawa separuh daripada jumlah rakyat Palestin di Gaza adalah kanak-kanak.

“Tindakan Israel menyasarkan golongan kanak-kanak di Gaza antara lainnya mengakibatkan masa depan wilayah tersebut semakin gelap. Kebanyakan mereka yang terselamat pula kini dalam keadaan trauma teruk apabila terpaksa menyaksikan ahli keluarga sendiri terbunuh.

“Selain pengeboman saban hari di keseluruhan tanah Gaza ketika ini, golongan kanak-kanak juga tidak terkecuali terpaksa menghadapi krisis kemanusiaan yang sangat kritikal.

“Kanak-kanak di Gaza sedang menghadapi kebuluran kerana ketiadaan bekalan makanan, penyakit berjangkit sedang menular. Segala keperluan asas mereka dinafikan termasuklah mendapatkan rawatan sewajarnya.

“Semua ini akan mengakibatkan masa depan Gaza tidak terjamin jika peperangan tidak dihentikan dalam kadar segera bagi membolehkan segala bantuan kemanusiaan dihantar termasuklah pembangunan semula wilayah tersebut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Pengarah Hubungan Antarabangsa Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi Gaza, Ahmed Abu Ayesh An Najjar berkata, stok bekalan makanan di Gaza semakin meruncing di kala kira-kira 1.9 juta rakyatnya kini tertumpu di sekitar Rafah untuk berlindung.

Menurutnya, beliau sendiri sudah lebih dua minggu terpaksa tidur dalam kelaparan disebabkan kekurangan bekalan makanan.

“Stok bekalan yang ada terpaksa dikongsikan dengan ribuan keluarga menjadikan setiap mereka hanya dapat sedikit makanan untuk berkongsi bersama keluarga masing-masing.

“Sejak dua minggu lalu, kami di sini terpaksa tidur dalam keadaan kelaparan. Apa yang dibimbangkan keadaan kanak-kanak. Kami yang dewasa boleh berpuasa dan sebagainya tetapi mereka perlukan makanan untuk membesar,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN