Arked Mara perlu 'berwajah' baharu

Arked Mara perlu ‘berwajah’ baharu

Meskipun terletak di lokasi strategik iaitu di tengah-tengah pekan Bukit Mertajam, Arked Mara di sini gagal menarik kehadiran orang ramai. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Suatu ketika dahulu khususnya setiap kali tiba musim perayaan atau cuti sekolah, bangunan arked yang dimiliki oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) di sini dianggap sebagai antara lokasi yang sering menjadi tumpuan pengunjung untuk membeli pelbagai barangan selain mendapatkan beberapa perkhidmatan yang ditawarkan di situ.

Meskipun produk yang ditawarkan agak terhad, namun, suasana ketika itu boleh dikatakan sentiasa ‘hidup’ dengan kehadiran orang ramai termasuk mereka yang berkunjung ke Pasar Awam Bukit Mertajam yang terletak tidak jauh dari situ.

Perkara itu diakui sendiri oleh salah seorang peniaga, Bibi Khadijah Ayob, 50, yang menjalankan perniagaan menjual pelbagai jenis pakaian sejak 10 tahun yang lalu.

Menurut Bibi Khadijah yang mengambil alih perniagaan tersebut daripada ibunya sebelum ini, suasana itu berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini terutamanya selepas tercetusnya pandemik Covid-19.

Pada masa yang sama katanya, kewujudan beberapa buah pasar raya besar khususnya di sekitar kawasan Bukit Mertajam turut menyukarkan peniaga kecil seperti mereka untuk bersaing sehingga adakalanya jualan merosot sehingga mencecah 90 peratus.

“Dulu, kalau nak diikutkan, pelanggan kami bukan sahaja datang dari Bukit Mertajam, malah ada yang datang dari Kulim (Kedah), Kepala Batas dan Tasek Gelugor. Memang meriah kerana semua tertumpu di sini.

“Sekarang ini kebanyakan kami hanya mengharapkan kehadiran pelanggan sahaja terutamanya orang ‘lama’. Orang muda macam tak berapa berminat untuk singgah ke sini,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui, hari ini.

Seorang lagi penyewa yang menjalankan perkhidmatan menjahit serta menjual pelbagai pakaian iaitu Asiah Osman, 64, turut sependapat dengan Bibi Khadijah dan menyifatkan suasana dalam bangunan Arked Mara Bukit Mertajam itu ketika ini tidak ‘seceria’ dahulu.

“Saya dah buka kedai di sini sejak tahun 1983 dan bersyukur kerana masih mampu bertahan sehingga ke hari ini.

“Walaupun pelanggan tak ramai, saya bernasib baik kerana mempunyai pelanggan tetap. Nak kata sunyi sangat itu tak adalah tapi kadang-kadang terasa juga,” katanya yang tengah mempelajari cara-cara untuk memasarkan produknya secara dalam talian ketika ini.

Dalam pada itu, seorang pengunjung, Ismail Hassan, 49, berkata, Mara perlu mengambil inisiatif tersendiri untuk ‘mengindahkan’ semula bangunan tersebut ketika ini.

“Saya lihat banyak bangunan Arked Mara ketika ini agak usang. Kadang-kadang tulisan pun sudah tertanggal. Jadi, ia perlu dibaiki serta dicat semula dengan warna yang lebih terang untuk menarik minat orang ramai datang ke sini.

“Lebih menarik juga jika pihak pengurusan mengadakan hari terbuka yang mengalu-alukan kehadiran orang ramai selain memastikan bahawa produk serta perkhidmatan yang ditawarkan kena dengan keperluan semasa,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN