LANGKAWI: Situasi bangunan Plaza Langkawi dimiliki Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang terletak di tengah bandar Kuah, di sini terus menjadi tanda tanya kepada penduduk setempat selepas ditinggalkan terbiar kira-kira 10 tahun lalu.
Ketika beroperasi dahulu, bangunan setinggi sembilan tingkat tersebut pernah menjadi pusat beli-belah bebas cukai, selain menempatkan banyak ruang pejabat.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar premis tersebut mendapati, bangunan itu kelihatan usang kerana telah ditinggalkan terlalu lama tanpa beroperasi dan pintu masuk utamanya berkunci.
Seorang peniaga kedai makan berhampiran, Kamaruzaman Saawan, 51, berkata, dia pernah mendengar desas-desus mengenai pembelian bangunan dan tapak bangunan tersebut oleh pelbagai pihak namun sehingga kini tiada sebarang perubahan dibuat.
“Saya pernah lihat banyak pihak yang berminat membeli bangunan ini untuk dijadikan sebagai hotel kerana lokasinya yang strategik dan terletak betul-betul di Kuah.
“Namun kebanyakan mereka menarik diri kerana difahamkan reka bentuk bangunan ini tidak sesuai untuk dijadikan hotel dan kos untuk meroboh dan membina semula terlalu tinggi,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.
Katanya, dia juga sering membersihkan sekitar kaki lima plaza tersebut yang tidak diselenggara kerana kedai makannya terletak bertentangan dengan bangunan berkenaan.
Sementara itu, seorang penduduk yang pernah berniaga di dalam plaza tersebut, Abdul Wahab Aripin, 64, berkata, pelancong hanya berkunjung ke bangunan itu pada awal pembukaannya sahaja.
“Sebelum bangunan ini dibina, Mara menyediakan kedai biasa di tapak ini, namun apabila berpindah ke bangunan baru pelanggan semakin berkurangan sehinggalah ramai peniaga terpaksa menyerahkan semula kedai yang disewa kepada Mara.
“Ada pelancong pernah memberitahu saya, dia tidak masuk ke bangunan ini walaupun sudah lalu-lalang selama tiga hari kerana menyangkakan ia adalah bangunan pejabat,” ujarnya.
Sementara itu, seorang penjaja yang hanya dikenali sebagai Jojo, 56, berkata, bangunan itu sering dipecah masuk oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
“Selalunya ada orang pecah masuk untuk curi wayar dan kini pastinya ada banyak kerosakan pada bangunan ini setelah ditinggalkan begitu lama,” katanya. – UTUSAN










