TANJUNG MALIM: Sebanyak RM25 juta diperuntukan untuk membina 18 blok tambahan baharu kolej kediaman pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim di sini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan perkara itu berkata, ini kerana kediaman di UPSI hanya boleh menampung 7,804 iaitu 36 peratus daripada lebih 31,000 pelajarnya.
“Ini kadar terendah berbanding IPTA seluruh negara, di IPTA lain 60 peratus.
“Apabila saya dengar maklumat ini, langkah segera perlu diambil untuk tambah kapasiti kolej kediaman, belanjanya saya luluskan RM25 juta,” katanya.
Beliau mengumumkan perkara itu ketika Dialog Mahasiswa Temui Anwar sempena Anugerah Buku Negara 2023 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini.
Dialog dihadiri kira-kira 5,000 mahasiswa UPSI di Dewan Tuanku Canselor di sini.
Menurut Anwar, projek berkenaan akan dilaksanakan di bawah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri.
“Saya telah mengarahkan Kementerian Kewangan agar peruntukan itu diluluskan sebelum akhir tahun ini juga,” katanya.
Baru-baru ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir melakukan lawatan kerja di Kolej Kediaman Ungku Omar, UPSI.
Zambry berkata, KPT akan berbincang dengan pihak institusi pendidikan tinggi seluruh negara bagi mengenal pasti universiti yang memerlukan penyelesaian berkaitan masalah kediaman pelajar. – UTUSAN










