52 pakej arkeo, geo baharu perkenal tapak warisan Pulau Pinang, Kedah - Utusan Malaysia

52 pakej arkeo, geo baharu perkenal tapak warisan Pulau Pinang, Kedah

MOHD. ROSLAN Abdullah (dua dari kiri) pada majlis pelancaran pakej Arkeopelancongan dan Geopelancongan Pulau Pinang dan Kedah di Kepala Batas, Pulau Pinang, hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KEPALA BATAS: Sebanyak 52 pakej pelancongan baharu diperkenalkan Tourism Malaysia menerusi Pakej Arkeopelancongan dan Geopelancongan bagi mempromosikan keunikan warisan arkeologi, geopark dan Tapak Warisan Dunia UNESCO di Pulau Pinang dan Kedah.

Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia, Mohd. Roslan Abdullah berkata, usaha yang dijalankan bersama 14 operator pelancongan di Wilayah Utara dan Wilayah Tengah itu menawarkan pelbagai pakej percutian bermula seawal Mac depan.

Katanya, penawaran pakej tersebut diharap mampu mempromosikan keunikan warisan arkeologi, geopark dan Tapak Warisan Dunia UNESCO yang terdapat di Pulau Pinang dan Kedah kepada para pelancong tempatan dan antarabangsa.

Jelas beliau, antara aktiviti yang ditawarkan ialah lawatan ke tapak arkeologi Lembah Bujang dan Sungai Batu, tapak warisan dunia UNESCO George Town, Jerai Geopark serta Sungai Merbok.

Selain itu, tambahnya, pakej lain termasuk Jerai Geopark Heritage Trail, The Lost Ancient City – Kedah Tua; Archaeology Eco Cycling Experience; Penang Heritage Tour; Mount Jerai Guided Tour dan Iron of Ancient Kedah to the World- The Untold Story 788 BC yang dapat memberi pendedahan mengenai tapak-tapak arkeologi, geopark dan Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Pelancong yang membeli pakej ini bukan sahaja boleh melawat geotapak atau tapak arkeologi, malah berpeluang merasai pengalaman kerja-kerja ekskavasi, meneroka Tapak Warisan Dunia UNESCO dan menghargai tinggalan warisan serta kebudayaan Malaysia,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran pakej itu di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga September lalu, Malaysia telah mencatatkan sebanyak 14,467,037 ketibaan pelancong asing ke negara ini dengan sumbangan pendapatan pelancongan mencecah RM49 bilion.

“Sejajar dengan persiapan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026, usaha ini dapat memangkin ke arah usaha pemeliharaan warisan, sejarah dan budaya tempatan selain mempelbagaikan kegiatan ekonomi dan penglibatan masyarakat setempat.

“Bagi merancakkan lagi promosi, kita turut akan bekerjasama dengan wakil Tourism Malaysia di luar negara untuk menguar-uarkan tawaran pakej ini seterusnya menarik lebih ramai kehadiran pelancong luar ke negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya