Yayasan antara lima pertubuhan dalam radar SPRM

Yayasan antara lima pertubuhan dalam radar SPRM

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan terdapat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau yayasan lain berada dalam radar siasatan mereka selepas disyaki menyeleweng dana awam hasil sumbangan untuk rakyat Palestin.

Kesemua yang terdiri tiga pertubuhan dan dua yayasan itu dikatakan mempunyai kaitan dengan Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) yang sedang disiasat SPRM.

Satu sumber mendedahkan, siasatan lanjut SPRM terhadap Aman Palestin merampas emas dan rumah yang dibeli menggunakan wang kutipan dipungut dan dikumpulkan pertubuhan itu.

Kata sumber itu, selain sitaan wang di dalam akaun, beberapa telefon bimbit dan komputer juga telah dirampas.

“Difahamkan, SPRM juga telah memanggil ketua pegawai eksekutif pertubuhan berkenaan bagi siasatan lanjut,” katanya di sini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan siasatan SPRM mendapati dana awam RM70 juta yang disyaki diseleweng pertubuhan Aman Palestin telah digunakan pembelian emas melalui sebuah syarikat.

Sumbangan yang perolehi pertubuhan itu juga telah disyaki digunakan bagi pembelian tanah atas nama syarikat yang dikenal pasti SPRM.

Selain itu, dana hasil sumbangan orang awam itu juga dikesan SPRM telah digunakan bagi suntikan modal pelaburan secara terus kepada syarikat itu dan beberapa lagi syarikat lain.

Utusan Malaysia juga melaporkan, SPRM juga dalam proses mengenal pasti aset-aset pertubuhan Aman Palestin dipercayai diperolehi hasil penyelewengan dana orang awam itu.

Semua aset berkenaan dalam tindakan untuk sitaan dan sebanhak 11 saksi dirakam keterangan oleh SPRM.

Lapor Utusan Malaysia, sembilan daripada 41 akaun bernilai lebih RM15.86 juta yang dibekukan adalah akaun yang didaftarkan di atas nama Aman Palestin Berhad.

Manakala, dua akaun lagi milik sebuah syarikat dan selebihnya merupakan akaun melibatkan tujuh individu.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi semalam mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut memandangkan siasatan masih berjalan.

Semalam, SPRM mengesahkan membekukan sebanyak 41 akaun bank syarikat pertubuhan Aman Palestin bernilai RM15,868,762.00 sehingga semalam.

Pembekuan itu dilakukan selepas SPRM menjalankan terhadap dakwaan Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai.

SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan penggeledahan turut dilakukan di premis Aman Palestin serta memperoleh dokumen-dokumen berkaitan kewangan dan pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu.

SPRM juga merakam beberapa keterangan saksi-saksi penting bagi siasatan lanjut.

Hasil siasatan awal mengenal pasti beberapa isu melibatkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhan syarikat berkenaan.

Tambah kenyataan itu, siasatan berkenaan dijalankan bagi mendapatkan keterangan berhubung kesalahan-kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Selain siasatan lanjut di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574).-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN