Tidak berpuas hati agih hasil keuntungan, wanita tikam rakan kongsi 15 kali - Utusan Malaysia

Tidak berpuas hati agih hasil keuntungan, wanita tikam rakan kongsi 15 kali

ANGGOTA polis memeriksan mayat wanita yang ditemukan dalam longkang dengan kesan 15 jahitan di Kuala Berang, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Tidak berpuas hati dengan agihan hasil keuntungan perniagaan dipercayai menjadi motif seorang wanita mati disyaki akibat dibunuh rakan kongsinya di Kuala Berang, Hulu Terengganu, awal pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan, mayat mangsa berusia 65 tahun itu ditemukan di dalam longkang di depan Pejabat Agama Hulu Terengganu dengan 15 kesan tikaman di badan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran antara dua wanita itu di dalam sebuah kereta menyebabkan mangsa turun sebelum dilanggar oleh suspek lalu tercampak ke dalam longkang.

Suspek, 35, yang merupakan tukang jahit dalam perniagaan tudung dan baju kurung itu kemudian bertindak menikam mangsa menggunakan pisau pemotong daging di dalam longkang tersebut.

“Menyedari kereta berkenaan gagal dihidupkan selepas perlanggaran itu, suspek menahan sebuah kenderaan dan melarikan diri ke lokasi lain lalu pulang ke rumahnya di Wakaf Tapai, Marang.

“Kira-kira pukul 11 pagi tadi, pihak polis berjaya memberkas suspek di rumahnya dan merampas sebilah pisau yang dibuang berdekatan kawasan kediaman berkenaan untuk siasatan lanjut.

“Kejadian disyaki berpunca rasa tidak puas hati dengan pembahagian hasil keuntungan perniagaan selain bermotifkan dendam dan marah antara mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Tambah Mazli lagi, siasatan terhadap kereta jenis Honda Jazz dinaiki dua wanita terbabit ketika kejadian menunjukkan kenderaan tersebut adalah milik suami kepada suspek dalam kes ini.

Bagaimanapun beliau berkata, pihak polis masih menunggu hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa bagi menentukan punca kematian sama ada daripada kesan perlanggaran atau mati ditikam.

Katanya, suspek akan dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan perintah reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya