
PETALING JAYA: “Tidak ada seinci pun tanah di Semenanjung Gaza yang membuatkan kami berasa selamat untuk terus berada di zon perang ini termasuklah di rumah mentua sendiri.”
Demikian luahan rakyat Malaysia yang terperangkap di Gaza, Nurul Ain Haron bersama suaminya, rakyat Palestin iaitu Mohamed Adan Shaat kepada Utusan Malaysia semalam.
“Kalau nak pergi berlindung di sekolah… sekolah pun kena serang. Hospital pun kena bom, berapa ramai pelarian yang berlindung di sana. Bayangkan, orang tengah beratur, berebut nak beli roti di bakeri pun jadi sasaran.
“Jadi harapan saya kepada kerajaan cuma bawa saya dan suami keluar dari sini.
“Datuk Seri (Anwar Ibrahim), tiada apa yang saya harapkan hanyalah satu, bantulah saya dan suami, bawa kami keluar dari sini (Semenanjung Gaza), keadaan di sini terlalu dahsyat,” titip Nurul dalam nada yang sedikit sebak kepada Perdana Menteri.
Harapan itu diluahkan Nurul Ain selepas mendapat berita bahawa pintu sempadan di Rafah sudah dibuka kepada pemegang pasport asing dan rakyat Palestin yang mengalami kecederaan parah akibat serangan bertali arus rejim zionis terhadap Semenanjung Gaza.
Nurul Ain yang berasal dari Keramat, Kuala Lumpur pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Gaza pada 1 Oktober lalu bersama suaminya yang sudah sembilan tahun tidak pulang bertemu keluarga.
Ini juga adalah kali pertama Nurul Ain bersua muka dengan keluarga mentuanya selepas enam tahun melangsungkan perkahwinan memandangkan pergerakan untuk keluar masuk ke Gaza bukanlah suatu yang mudah termasuklah kepada rakyat Palestin sendiri.
Kedua-dua pasangan yang menetap di Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu dijadualkan meninggalkan Gaza pada 25 Oktober melalui sempadah Rafah menuju ke Mesir sebelum menaiki penerbangan ke UAE hari berikutnya, namun mereka kini terkandas di Khan Younis susulan peperangan antara pejuang Hamas dengan tentera zionis.
Menurut Nurul Ain, permintaan tersebut bukanlah kerana beliau mementingkan dirinya sendiri.
Sebaliknya kata beliau, keluarga suaminya dan saudara mara suaminya akan terus berada dalam kedaifan jika mereka kehilangan pekerjaan.
“Keluarga suami saya sekarang ini amat susah sekiranya apa-apa berlaku… Nauzubillah… jika dia hilang pekerjaan bagaimana kami hendak membantu keluarganya dan orang di sekeliling.
“Saya amat berharap jika Perdana Menteri dan kerajaan dapat berbuat sesuatu untuk membawa kami keluar dari sini dengan selamat,” katanya.
Suaminya, Mohamed Adan berkhidmat sebagai Pegawai Perlindungan Radiasi (RPO) dan Jururadiograf Kanan di bahagian wanita dan kanak-kanak Hospital Al-Qasimi, Sharjah, UAE.
Nurul Ain berkata, beliau dan suami akan terus menunggu berita baik daripada Kedutaan Malaysia di Mesir yang sentiasa berhubung dengannya untuk mengetahui perkembangan dirinya.
“Setiap hari saya memang menunggu (berita baik)… Insya-Allah, pasti ada sinar,” katanya. – UTUSAN










