Senarai hitam ejen pelancongan tidak berlesen

Senarai hitam ejen pelancongan tidak berlesen

MOHD. AZRI ABD. RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ejen pelancongan dan umrah tidak berlesen di negara ini perlu disenaraihitamkan bagi mengelak berlakunya kes penipuan berulang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Haji dan Umrah, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia, Azri Abd. Razak berkata, langkah itu perlu dilakukan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi mengelakkan jemaah daripada terus ditipu agensi pelancongan tidak bertanggungjawab.

“Kementerian boleh senarai hitamkan terus dengan mengeluarkan senarai nama syarikat dan uar-uarkan kepada media supaya semua orang tahu serta kenakan denda mengikut akta pelancongan 1992, ” katanya.

Kelmarin Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing memberitahu, akan meneliti serta menyemak semula kelayakan syarikat agensi pelancongan, terutama perniagaan berkaitan perjalanan mengerjakan umrah di Arab Saudi.

Menurutnya, ia susulan aduan orang ramai, khususnya jemaah umrah yang menjadi mangsa penipuan syarikat agensi pelancongan, masih diterima walaupun tindakan tegas seperti membatalkan lesen syarikat terbabit, sudah dilaksanakan.
Dalam pada itu, Setiausaha Persatuan Agensi Pelancongan Umrah (PAPUH), Faridah Hamid berkata, kementerian juga sepatutnya memainkan peranan yang lebih tegas bagi membendung isu ini.

“Kementerian perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam menangani agensi yang tidak berlesen dengan meningkatkan penguatkuasaan terutamanya di pintu keluar negara seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Saya ingin juga menyarankan kepada semua jemaah untuk sentiasa menyemak status sesebuah Syarikat agensi pelancongan sama ada mereka berdaftar dan memiliki lesen umrah yang sepatutnya, sebelum bayaran dibuat ke akaun mereka,” katanya.
Faridah uga menasihatkan para jemaah untuk sentiasa berurusan dengan agensi pelancongan yang berdaftar sahaja untuk mengelakkan daripada ditipu.

Katanya juga, industri umrah di Malaysia diselia bukan sahaja oleh kementerian tetapi turut dipantau oleh Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) yang turut dianggotai oleh banyak agensi kerajaan dan persatuan-persatuan pelancongan.
Para jemaah juga boleh merujuk ke pautan https://www.motac.gov.my/semakan/umrah bagi membuat semakan yang lebih teliti bagi mengelakkan diri dari terus menjadi mangsa penipuan.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN