Sebarang isu, selesai secara dalaman - Mursyidul Am Pas - Utusan Malaysia

Sebarang isu, selesai secara dalaman – Mursyidul Am Pas

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sebarang isu berbangkit di dalam Perikatan Nasional (PN) di negeri ini seharusnya diselesaikan secara dalaman melibatkan parti komponen iaitu Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, pihaknya telah menyuarakan pandangan itu sewaktu pertemuan bersama Pengerusi PN negeri, Abu Bakar Hamzah susulan daripada isu pelantikan Exco di Perlis baru-baru ini.

Hashim berkata, isu-isu yang timbul melibatkan Bersatu dan Pas tidak perlu didedahkan kepada pihak luar kerana musuh utama PN bukanlah parti-parti komponen di bawah gabungan itu.

“Saya memberi pandangan bahawa kalau ada pun apa-apa yang tak puas hati, selesaikan di peringkat parti kerana kita kena faham musuh utama kita bukan Pas atau Bersatu.

“Kita dapati ada gerakan anti Islam yang memerlukan kita bersatu bagi hadapi musuh utama sekali gus menyumbang kepada matlamat memperjuangkan agenda perpaduan ummah,” katanya.

Hashim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertemuannya bersama Abu Bakar baru-baru ini susulan daripada isu pelantikan Exco negeri bagi penggal ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan mengenai ketidakpuasan hati Abu Bakar berhubung pelantikan Exco kerajaan negeri di mana nama beliau sekali lagi tidak dipilih bagi memegang jawatan berkenaan.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis itu turut mendakwa ada pemimpin dalam Bersatu negeri cuba menikam beliau dari belakang sehingga tidak terpilih sebagai Exco.

Dalam pada itu, Hashim berkata, sebarang tindakan yang boleh merencatkan usaha bagi mencapai matlamat agenda perpaduan ummah seharusnya dielakkan di dalam PN.

“Kalau tak betul, kita perbetulkan dan jangan disebabkan kita bertembung antara parti maka ia mencacatkan usaha untuk mencapai matlamat perpaduan ummah ini,” katanya.

Di samping itu, Hashim berkata, Pas juga bersedia bersama mana-mana pihak yang ingin menyokong agenda perpaduan ummah sebagaimana parti itu kini menerima bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad

Katanya, tiada sebab buat parti Islam itu membenci Tun Mahathir memandangkan beliau telah kembali ke jalan perpaduan ummah dan menunjukkan kekesalan atas tidakannya yang lalu

“Jadi tak timbul (sebarang isu) kenapa dulu kita benci pada dia (Tun Mahathir) tapi hari ini kita sayang dan anggap dia baik. (Ini) sebab dia kembali pada landasan perjuangan perpaduan ummah sendiri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya