Rasuah: Bekas eksekutif Petronas didenda RM177,000, penjara sehari - Utusan Malaysia

Rasuah: Bekas eksekutif Petronas didenda RM177,000, penjara sehari

Rasuah eksekutif Petronas
MOHD. Amal Mohd. Razalan menukar pengakuan kepada bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah pada hari pertama perbicaraannya dekat Mahkamah Sesyen di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang bekas eksekutif Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) didenda RM177,000 dan penjara sehari selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini terhadap dua pertuduhan rasuah melibatkan nilai RM34,677.50 pada Oktober 2019 dan Januari 2020.

Tertuduh, Mohd. Amal Mohd. Razalan menukar pengakuannya pada hari pertama perbicaraan kes tersebut selepas seorang saksi dipanggil bagi memberi keterangan.

Hakim Datuk Anita Harun membenarkan permohonan pengakuan penukaran tersebut sebelum Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry memohon fakta kes terhadap tertuduh dibacakan.

Berdasarkan fakta kes, Mohd. Amal, 36, mengarahkan seorang individu lelaki menubuhkan sebuah syarikat MAMN Goldenvision Enterprise yang selepas itu ditukar kepada MGV Energy Sdn Bhd bagi mendapatkan projek-projek daripada syarikat kontraktor utama yang dianugerahkan oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Oleh demikian, tertuduh menggunakan jawatan sebagai Eksekutif Pembinaan untuk mempengaruhi syarikat kontraktor utama supaya disubkan kepada syarikat terbabit yang mana tertuduh mempunyai kawalan dan akses ke atasnya.

Bapa kepada dua orang anak itu bersama individu lelaki terbabit juga berjumpa dengan pemilik syarikat kontraktor utama.

Justeru, tertuduh secara rasuah menerima wang bagi kerja-kerja disubkan kepada MGV Energy sebagai dorongan untuk membantu syarikat kontraktor utama mendapatkan kerja-kerja Provision of Civil & Structural Maintenance Services For PCSB iaitu RM30,718.30 (Oktober 2019) dan RM4,499.20 (Januari 2020).

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan dekat sebuah cawangan bank di Puchong, Selangor.

Sehubungan itu, Mohd. Amal didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pada 11 Januari lalu, tertuduh berdepan 46 pertuduhan rasuah memenerima rasuah dan hasil aktiviti haram sebanyak RM9.65 juta bagi 92 projek pembinaan dan penyelenggaraan untuk syarikatnya antara 2018 hingga 2022.

Bagaimanapun, ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini Mohd. Amal, mengaku tidak bersalah selepas kesemua 46 pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen ketika itu, Rozilah Salleh.

Dalam keputusan hari ini, hakim menetapkan denda RM154,000 dan penjara sehari bagi pertuduhan ke-22 serta RM23,000 penjara dalam tempoh sama bagi pertuduhan ke-26.

Anita juga menetapkan penjara 18 bulan jika tertuduh gagal membayar kedua-dua denda tersebut.

Bagi baki 44 pertuduhan, hakim memutuskan kesemuanya hukumannya diambil kira (TIC) dengan sabitan pertuduhan ke-22 dan 26 selepas Mohd. Amal mengaku melakukan perbuatan tersebut dan dipersetujui oleh Timbalan Pendakwa Raya sebagai TIC.

Bagaimanapun, Anita menjelaskan, tertuduh boleh dibicarakan semula bagi baki 44 pertuduhan tersebut apabila terdapat rayuan terhadap keputusan itu berdasarkan Seksyen 171(A) Kanun Tatacara Jenayah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly dan Muaz Ahmad Khairuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Hasnal Rezua Merican. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya