Pendakwa raya minta bekas menteri pendidikan dijel 18 tahun - Utusan Malaysia

Pendakwa raya minta bekas menteri pendidikan dijel 18 tahun

NADIEM MAKARIM (tengah). - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA:  Pendakwa raya Indonesia berkata pada Rabu bahawa mereka sedang menuntut hukuman penjara 18 tahun terhadap Nadiem Makarim, bekas menteri pendidikan Indonesia dan pengasas bersama syarikat e-hailing Gojek, atas penglibatannya dalam kes rasuah.

Beliau didakwa terlibat dalam pembelian komputer riba secara tidak wajar semasa pandemik, yang menyebabkan kerugian negara berjumlah AS$125.64 juta (RM494 juta).

Jika diluluskan, hukuman penjara 18 tahun itu akan menjadi antara hukuman paling berat yang dikenakan terhadap bekas menteri dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Nadiem, yang meletakkan jawatan sebagai ketua eksekutif syarikat e-hailing Gojek pada 2019 untuk berkhidmat sebagai menteri pendidikan sehingga 2024.

Belau didakwa telah memperkayakan dirinya sekitar AS$46.33 juta (RM182 juta) melalui perolehan komputer riba Chromebook dan sistem Chrome OS untuk sekolah antara 2020 hingga 2022, menurut pihak pendakwa raya.

Pendakwa raya mendakwa Nadiem telah menetapkan spesifikasi tender yang hanya sesuai dengan sistem Chrome bagi menjadikan Google sebagai satu-satunya pengawal ekosistem pendidikan di Indonesia.

Dalam satu pendengaran di mahkamah rasuah Jakarta Tengah pada Rabu, pendakwa raya berkata, peranan Nadiem dalam kes itu ketika beliau berkhidmat sebagai menteri telah melanggar janji antirasuah kerajaan serta merosakkan sistem pendidikan negara.

Komputer riba Chromebook itu dibeli walaupun kementerian telah menetapkan pada 2018 bahawa penggunaannya untuk pembelajaran memerlukan sambungan internet. Cara itu menjadikannya tidak sesuai untuk Indonesia yang mempunyai masalah besar dari segi ketersediaan internet di kawasan terpencil, kata pihak pendakwa raya kepada mahkamah.

Kementerian tetap meneruskan pembelian Chromebook itu selepas Nadiem bertemu beberapa kali dengan wakil Google Asia Pacific dan Google Indonesia pada 2020, kata pihak pendakwa raya.

Beliau telah ditahan pada September bersama beberapa pegawai kanan kementeriannya. Nadiem menafikan sebarang salah laku, menurut peguamnya Ari Yusuf Amir.

Peguam beliau menyatakan rasa kecewa terhadap tuntutan tersebut kerana pihak pendakwa raya didakwa mengabaikan bukti baharu yang dikemukakan di mahkamah, kata Ari kepada Reuters pada Rabu.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan keputusan kes akan dijatuhkan pada Jun.  AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN