MELAKA: Seorang bekas pegawai sebuah bank didenda RM90,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas 17 pertuduhan pilihan gagal melaporkan penerimaan suapan berjumlah RM123,132.50 berkaitan urusan pinjaman perumahan bank tersebut.
Tertuduh, Mohd. Rais Mohamed Ramli, 45, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Elesabet Paya Wan selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan pilihan pertama hingga ke-17, tertuduh didakwa menerima wang suapan berjumlah keseluruhan RM123,132.50 daripada sebuah firma guaman di Kuala Lumpur melalui akaun bank syarikat milik isterinya antara 29 Ogos 2018 hingga 27 Januari 2023.
Wang tersebut diterima sebagai balasan kerana membantu memberikan rujukan kes berkaitan urusan pinjaman perumahan bank tempatnya bekerja itu kepada firma guaman terbabit.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Hakim kemudian menjatuhkan hukuman denda bagi setiap pertuduhan melibatkan jumlah antara RM2,000 hingga RM10,000 serta hukuman penjara antara dua hingga 10 bulan sekiranya gagal membayar denda.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didenda RM3,000 atau penjara tiga bulan manakala pertuduhan kedua pula dikenakan denda RM2,000 atau penjara dua bulan.
Bagi pertuduhan ketiga hingga ke-17, mahkamah menjatuhkan hukuman denda antara RM3,000 hingga RM10,000 beserta hukuman penjara antara tiga hingga 10 bulan sekiranya gagal membayar denda.
Jumlah keseluruhan denda yang dikenakan adalah sebanyak RM90,000 dan tertuduh telah membayar kesemua denda tersebut. – UTUSAN









