PETALING JAYA: Pelbagai kejayaan membabitkan pembanterasan rasuah, sindiket jenayah kompleks serta pemulihan aset negara bernilai berbilion ringgit merupakan pencapaian sepanjang tempoh lima tahun kepimpinan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Hisyam Mohd Yusoff berkata, sepanjang tempoh itu, Azam menerajui pendekatan lebih agresif, moden dan berasaskan risikan dalam memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan.
Katanya, antara pencapaian utama adalah penubuhan unit khas bersenjata skuad taktikal khas ACTS yang ditubuhkan pada 2023.
Jelasnya, unit itu diwujudkan bagi melaksanakan operasi berisiko tinggi termasuk kes rasuah berprofil tinggi, selain memperkukuh keupayaan SPRM dalam menghadapi situasi taktikal mencabar dengan penggunaan peralatan moden dan pegawai terlatih khas.
“SPRM turut memperkukuh Multiagency Task Force (MATF) yang ditubuhkan sejak 2018 susulan pendedahan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Kes ini di bawah koordinasi SPRM bersama agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya di sini hari ini.
Hisyam berkata, MATF menjadi platform utama membanteras rasuah, penyeludupan serta pengubahan wang haram selain memulihkan hasil negara.
Antara operasi besar di bawah MATF termasuk Op Metal dan Op Nature yang membongkar sindiket e-waste dan sisa plastik haram sehingga menyebabkan kerugian hasil negara dianggarkan melebihi RM950 juta dalam tempoh enam tahun.
Ujarnya, operasi itu turut menyaksikan pembekuan 16 akaun bank bernilai lebih RM10.2 juta serta tindakan terhadap pegawai kanan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Pada September 2025, SPRM juga melaksanakan Op Karen dengan melumpuhkan sindiket penyeludupan diesel bernilai RM247 juta dengan 498 akaun bank dibekukan melibatkan nilai kira-kira RM110 juta.
“Selain rampasan 4.5 juta liter diesel bernilai RM9.7 juta serta penyitaan lima kapal bernilai RM52 juta. SPRM turut membongkar kes besar dikenali sebagai ‘kontena terbang’ di Pelabuhan Klang yang dianggarkan menyebabkan ketirisan hasil negara sehingga RM3.5 bilion dalam tempoh 10 tahun, selain merampas wang tunai RM4.4 juta daripada pegawai kastam yang terlibat,” jelasnya.
Beliau menambah, daripada sudut pendekatan penyiasatan pula, SPRM memperkenalkan Intelligence Based Investigations (IBI) iaitu kaedah siasatan proaktif berasaskan risikan dan analisis data bagi mengesan jenayah sebelum laporan dibuat.
Jelasnya, pendekatan ini memberi fokus kepada kes rasuah bersindiket dan grand corruption dengan penggunaan teknologi forensik kewangan bagi menjejaki aliran dana.
“IBI turut dikreditkan sebagai antara faktor yang menyumbang kepada kadar sabitan kes SPRM sehingga 95 peratus, selain menjadi asas pemodenan operasi agensi itu.
“Latihan khusus turut diperkenalkan melalui Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) bagi memperkukuh kepakaran pegawai,”ujarnya. – UTUSAN










