Politik bukan bidang saya -  Azam Baki

Politik bukan bidang saya –  Azam Baki

AZAM Baki ketika ditemubual dalam rancangan audio siar Kolar Hitam terbitan SPRM yang disiarkan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menolak untuk berkecimpung dalam dunia politik selepas persaraannya yang bermula esok.

Menurutnya, politik dan perniagaan bukanlah bidang yang akan akan disertainya kelak.

“Tidak adalah, politik jauh sekali pada saya setakat ini sebab politik bukan bidang saya. Perniagaan pun tidak. Saya pun tidak reti hendak berniaga,” katanya dalam temubual audio siar Kolar Hitam terbitan SPRM yang disiarkan hari ini.

Azam dalam pada itu secara berseloroh berkata, beliau hanya tahu bermain saham sehingga menyebabkan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli marah kepada dirinya.

“Main saham saya retilah, itu yang Rafizi marah. Tidak apa, saya gurau ya. YB Rafizi, saya pun tidak pernah marah dengan dia pun,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan akan terus memerhati perkembangan SPRM dari luar sebagai orang awam.

Katanya, pada masa sama, beliau juga akan bersuara serta memberikan pandangan yang baik dan membina demi memastikan SPRM terus kekal relevan dan dihormati

“Dunia ini bukan untuk dirunsingkan, tetapi untuk diuruskan. Bila menguruskan dunia ini, uruskan dengan berhemah dan lebih baik agar menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat.

“SPRM ini perlu diuruskan, kalau saya hendak pencen pun perlu diuruskan, ssebagai lelaki,  kita ini tetap akan bekerja sehingga satu hari dikerandakan dalam masjid,” katanya.

Azam berkata, beliau juga bersedia berkongsi pengalaman dengan mana-mana pihak terutama rakan-rakan serta warga SPRM yang pernah bekerja bersamanya.

“Itulah saya selepas bersara, Kalau perlukan apa-apa nasihat, kalau diperlukan saya akan bersedia untuk menyumbang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan akan terus menjaga keterampilan dan bersukan selepas bersara kerana ia penting bagi membentuk keyakinan diri.

“Terus terang saya katakan bila saya jadi Ketua Pesuruhjaya, keterampilan itu penting untuk organisasi. Selepas pencen pun saya akan jaga keterampilan saya,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN