COLOMBO: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Lankan Airlines yang berada di bawah siasatan kerana didakwa menerima rasuah daripada syarikat Airbus ditemukan mati, menurut kenyataan pihak polis pada Jumaat.
Kapil Chandrasena ditemukan meninggal dunia di rumah salah seorang saudaranya yang terletak di ibu negara, Colombo.
Mendiang sebelum ini berdepan siasatan oleh pihak berkuasa Sri Lanka. Ia adalah atas dakwaan berkomplot untuk menerima rasuah berjumlah AS$16 juta (RM62.7 juta) daripada pengeluar pesawat Eropah tersebut.
Suapan itu didakwa bagi memudahkan urusan pembelian 10 buah jet yang bernilai kira-kira AS$2.3 bilion (RM9 bilion). Pembelian itu telah dimuktamadkan pada 2013. Ia berlaku ketika Chandrasena menerajui syarikat penerbangan nasional berkenaan.
Nama Chandrasena turut dikaitkan dalam siasatan bersama oleh Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis mengenai urusan perniagaan Airbus.
Sri Lanka merupakan antara negara yang pegawai-pegawainya disebut menerima rasuah dalam penyelesaian kes Airbus bernilai AS$4 bilion (RM15.6 bilion) dengan pihak berkuasa Eropah dan AS. Pada Disember 2024, kerajaan AS telah mengenakan sekatan ke atas beliau atas kesalahan yang sama.
Laporan akhbar tempatan, Daily Mirror menyatakan bahawa Chandrasena dan isterinya didakwa menerima wang rasuah tersebut melalui sebuah syarikat yang didaftarkan di luar negara.
Sebelum ini, beliau dilaporkan memberitahu penyiasat bahawa sebahagian daripada wang tersebut telah dibayar kepada bekas Presiden, Mahinda Rajapaksa dan Menteri Penerbangan, Piyankara Jayaratne. – AGENSI










