PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus dilihat kekal relevan dari dahulu hingga kini, susulan peranan konsisten pegawainya yang kekal di barisan hadapan dalam memerangi rasuah serta sindiket melalui pelaksanaan operasi berskala besar.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang akan menamatkan tempoh perkhidmatannya esok merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga SPRM atas komitmen serta dedikasi mereka dalam memperkukuh usaha pembanterasan rasuah di negara ini.
“Saya bersyukur kepada Allah kerana masyarakat percaya pada SPRM dan itu petanda yang baik.
“Saya ingatkan kepada pegawai untuk terus fokus tentang ketirisan dan kes-kes besar. Sebab kita kena fokuskan kepada yang hilang beratus-ratus juta ini kerana penipuan banyak berlaku.
“Antara pendekatan yang saya maklumkan ialah mengembalikan aset yang dicuri,” katanya dalam temubual Podcast Kolar Hitam terbitan SPRM di sini hari ini.
Katanya, tindakan perlu diambil dengan tegas dalam usaha mengembalikan semula duit rakyat yang dicuri.
Jelasnya, SPRM akan berusaha mendapatkan semula wang hasil rasuah itu dengan menggunakan undang-undang.
“Ayat mudah saya gunakan. Kalau dah dicuri daripada rakyat, kita curi baliklah dengan cara undang-undang kita, dengan cara paksaan kita dapatkan duit itu balik.
“Terima kasih lah kepada SPRM. Jangan terima kasih kepada saya, terima kasih kepada pegawai-pegawai saya yang telah bekerja bersungguh-sungguh dengan keringat mereka tanpa kira siang malam. Itulah kesungguhan yang ditunjukkan oleh pegawai saya selama ini,” ujarnya.
Selain itu, Azam turut menempelak pihak atau individu yang mempersoalkan tindakan SPRM mengambil tindakan dan siasatan kes rasuah.
“Saya nak mengatakan kepada si ‘bodoh-bodoh’ ini yang mempersoalkan SPRM, sepatutnya yang dipersoalkan ialah mereka yang tak buat kerja.
“Bila kita buat kerja dah tentu akan nampaklah tindakan diambil. Tetapi, yang tak buat kerja ini akibat rasuah itu patut dipertikaikan,” ujarnya.
Jelasnya, masyarakat dinasihatkan agar tidak menyalahkan individu atau pihak yang mengambil tindakan.
“Sepatutnya salah mereka yang tak ambil tindakan. Pihak berkuasa yang melindungi penjenayah-penjenayah ini patut tuan-tuan semua mempersalahkan mereka.
“Inilah masalah masyarakat. Saya nak kena perbetulkan. Suka tak suka saya nak beritahu pada masyarakat dengan jelas, mungkin akibat dengki kepada SPRM,” katanya. – UTUSAN








